Serangan tumpul punca Kedah tewas

Kapten TFC, Kpah Sherman (jersi, putih) dikawal pemain KDA FC, Rodney Akwensivie pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat malam. - Foto Bernama
Kapten TFC, Kpah Sherman (jersi, putih) dikawal pemain KDA FC, Rodney Akwensivie pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat malam. - Foto Bernama
A
A
A

KETUMPULAN di bahagian serangan pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dilihat menjadi punca pasukan kenari itu tewas 2-1 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.

Ketua jurulatih KDA, Aidil Sharin Sahak bagaimanapun enggan meletakkan sepenuh kesalahan itu kepada para pemainnya memandangkan mereka berjaya mempamerkan corak lebih tersusun terutama pada babak kedua.

“Kami gagal beraksi baik pada awal permainan dan melepaskan gol yang sama seperti minggu lalu. Malah pergerakan Kpah Sherman dalam kotak penalti juga tidak dikawal.

“KDA sebenarnya bermain jauh lebih bagus berbanding TFC selepas rehat dengan berjaya menguasai bola selain memiliki beberapa peluang untuk mencipta jaringan. Namun dalam bola sepak jika ia disia-siakan, sudah pasti pasukan itu akan dihukum.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain di atas keputusan yang diraih pada perlawanan ini. Ini kerana lapan pemain kami kurang sihat dan ia bukan mudah untuk beraksi di tempat lawan selepas pulang dari Bali,” katanya.

Pada aksi tersebut, Terengganu tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan jaringan apabila pemain import, Kpah Sherman menjaringkan gol pada minit ke-13 sebelum Manuel Ott menggandakan kedudukan pada minit ke-56.

Biarpun ketinggalan 0-2, pemain gantian KDA FC, Azammuddin Akil berjaya merapatkan jurang gol apabila menjaringkan gol tunggal pelawat pada masa kecederaan.