PH sedia runding MoU diteruskan: Salahuddin

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) bersedia meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai dengan kerajaan Persekutuan pada September tahun lalu.

Naib Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kesediaan untuk meneruskan MoU itu bergantung kepada kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk berunding bagi menyambung MoU tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, tiada masalah untuk meneruskan MoU selepas 31 Julai kerana PH sentiasa terbuka menilai sebarang cadangan demi kebaikan rakyat.

"Jika ada cadangan (MoU baharu) demi kepentingan rakyat, kita bersedia timbang serta sentiasa terbuka untuk menilai.

"PH dah buktikan apabila MoU ditandatangani, kita bersama-sama bantu rakyat.Tidak berlaku 'politiking' di Parlimen malah Belanjawan 2022 berjaya diluluskan dengan konsensus dan banyak usul kerajaan kita terima demi kepentingan rakyat

"Kalau Perdana Menteri datang untuk kita berunding lagi mengenai MoU, PH sedia timbang kerana ia kepentingan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhar selepas 'flash mob' demonstrasi aman bantahan kenaikan harga barang di Kampung Pasir, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad.

Pada 14 April lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilaporkan memutuskan MoU antara kerajaan Persekutuan dan PH yang berakhir 31 Julai ini, tidak diteruskan lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, beliau akur dengan keputusan MKT UMNO untuk tidak meneruskan MoU itu.

Pada 13 September tahun lalu, kerajaan memeterai MoU itu yang ditandatangani Ismail Sabri bersama ketua-ketua parti PH iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP ketika itu, Lim Guan Eng; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Sebelum itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai mengetuai 'flash mob' di Kampung Pasir pada Sabtu bagi menyuarakan bantahan kenaikan harga barang.

Flasb mob membantah kenaikan harga barang di Kampung Pasir pada Sabtu.
Flasb mob membantah kenaikan harga barang di Kampung Pasir pada Sabtu.

'Flash mob' diadakan bermula jam 3 petang dan berakhir pada jam 3.30 petang itu dikawal beberapa anggota polis bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku memandangkan lokasi terletak di laluan utama ke bandar raya Johor Bahru.

Salahudddin berkata, bantahan aman terbabit dilakukan untuk memberik isyarat kepada kerajaan agar bertanggungjawab dan tidak sekadar mengeluarkan kenyataan sahaja.

"Bantahan serupa diadakan di 222 kawasan parlimen di seluruh negara. Kami mengambil tanggungjawab ini kerana rakyat mengalami suatu era di mana mereka menghadapi keadaan yang sangat kritikal.

"Keadaan di mana berlakunya kenaikan harga barang keperluan rasa seperti ayam minyak masak keperluan dapur dan juga barang-barang keperluan rakyat ketika ini," katanya.