Fokus saya hanya pada Terengganu FC: Nafuzi

Nafuzi
Nafuzi
A
A
A

PENGENDALI pasukan Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain yang dikaitkan bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan bawah-23 (B23) mengakui

beliau mahu memberikan fokus untuk melatih skuad Sang Penyu dalam mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Begitupun jurulatih kelahiran Kelantan itu berkata, beliau mungkin tidak menolak kemungkinan untuk melatih pasukan kebangsaan sekiranya tawaran yang diberikan itu datang tepat pada masanya.

Menurutnya, setakat ini beliau tidak menerima apa-apa tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sambil memberitahu fokusnya kini hanya untuk melatih pasukan Terengganu.

“Semua pemain, jurulatih mengimpikan untuk bersama pasukan kebangsaan namun bagi saya belum tiba masanya dan belum ada tawaran.

“Insya-ALLAH, apabila tiba waktunya nanti mungkin saya akan pertimbangkan. Namun fokus saya ketika ini hanya untuk pemain-pemain dan barisan jurulatih Sang Penyu selagi khidmat diperlukan TFC,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC pada Jumaat.

Sebelum ini nama Nafuzi disebut-sebut antara calon menggantikan Brad Maloney yang mengumumkan perletakan jawatannya sebagai pengendali skuad B-23 negara secara persetujuan bersama oleh kedua-dua belah pihak.

Selain Nafuzi, terdapat beberapa nama yang dikhabarkan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Maloney antaranya ialah pembantu pasukan Harimau Malaya, E Elavarasan dan Paul Marti Vicente.

Selain itu, nama bekas jurulatih skuad Olimpik Korea Selatan, Kim Hak Bum turut dikaitkan bagi mengisi jawatan tersebut.