Jangan terlalu bodek Anwar, kata Rafizi

Mohd Rafizi
Mohd Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Kepimpinan baharu dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan agar tidak terlalu membodek atau mempertahankan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam setiap perkara, kata Timbalan Presiden PKR yang baharu, Mohd Rafizi Ramli.

Beliau mendakwa, masalah timbul apabila terdapat kelompok di sekeliling Anwar yang sering merasakan mereka perlu membela pemimpin berkenaan sehingga tidak boleh ada fakta yang dilihat menyentuh (mengkritik) presiden parti itu.

"Apa yang penting adalah parti dan kepimpinan baharu tidak terlalu berusaha membodek Anwar atau pertahankannya. Anwar is Anwar...dia tidak perlu dipertahankan. Saya tidak akan memainkan peranan itu (membodek),” katanya kepada pemberita selepas ucapan dasar Anwar di Kongres Nasional PKR 2022 di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Mohd Rafizi berkata, PKR dan Pakatan Harapan (PH) perlu menimbangkan dua perkara penting sebelum memutuskan untuk menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang lain atau membentuk ‘khemah besar’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, PKR perlu menimbangkan sentimen ahli parti serta penyokong PH mengenai idea ‘khemah besar’ dan keduanya meneliti kesan negatif sekiranya terdapat parti lain bekerjasama dengan gabungan itu. - Bernama