Terengganu sedia biasiswa belajar di TATIUC

Ahmad Samsuri (tengah) menyerahkan replika cek tajaan biasiswa kepada Profesor Dr Anuar (kanan).
Ahmad Samsuri (tengah) menyerahkan replika cek tajaan biasiswa kepada Profesor Dr Anuar (kanan).
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri menawarkan biasiswa berjumlah RM3.1 juta di bawah program Biasiswa Terengganu Sejahtera untuk melanjutkan pengajian di Kolej Universiti TATI (TATIUC).

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, biasiswa itu membuka peluang kepada pelajar yang layak bagi mengikuti program peringkat asasi dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.

“Tawaran ini dibuka kepada pelajar baru bagi kemasukan Mei dan September 2019 di TATIUC, yang juga sebuah institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Terengganu.

“Nilai biasiswa ini adalah RM11,045 sepanjang pengajian meliputi yuran pengajian dan penginapan di kolej kediaman. 100 pelajar terawal yang layak juga ditawarkan elaun sara hidup sebanyak RM323 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Biasiswa TATIUC Terengganu Sejahtera di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Turut hadir, Rektor TATIUC, Profesor Dr Anuar Ahmad; Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat dan ADUN Wanita, Zuraida Md Noor.

Sementara itu, Profesor Dr Anuar berkata, TATIUC menyediakan 1,100 tempat bagi kemasukan pelajar baharu bagi sesi pengajian 2019/2020.

"TATIUC menawarkan tiga program Sarjana, 10 program Ijazah Sarjana Muda, 13 program Diploma dan 2 program Asasi dalam pelbagai bidang antaranya pembuatan, automasi, elektrikal, ujian tanpa musnah, kimia, polimer, komputer, pengurusan teknologi dan media grafik.

“Di samping biasiswa peringkat Asasi, TATIUC turut menyediakan elaun sara hidup kepada pelajar diploma sebanyak RM200 sebulan bersamaan RM4,800 sepanjang pengajian.
Artikel Berkaitan:


"Sementara pelajar ijazah sarjana muda menerima elaun sara hidup sebanyak RM250 sebulan bersamaan RM8,000 sepanjang pengajian. Pengurangan yuran pengajian juga ditawarkan kepada yang layak," katanya.

Menurutnya, maklumat lanjut berhubung tawaran Biasiswa Terengganu Sejahtera boleh hubungi 09-860 1130 atau layari www.tatiuc.edu.my.

Keterangan gambar:

Ahmad Samsuri (dua kiri) menyerahkan replika cek tajaan biasiswa kepada Profesor Dr. Anuar (dua kanan).