Restoran ambil pesanan guna kod QR tidak mesra pelanggan?

Penggunaan kod QR ini tidak digemari bagi mereka yang tidak mahir penggunaan telefon bimbit, terutama golongan warga emas. - Foto 123RF
Penggunaan kod QR ini tidak digemari bagi mereka yang tidak mahir penggunaan telefon bimbit, terutama golongan warga emas. - Foto 123RF
A
A
A

KELMARIN, Merak Jalanan tergerak nak bersarapan pagi di sebuah restoran di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Dulu restoran itu tempat Merak Jalanan melepak, tetapi akibat pandemik Covid-19, sudah tiga tahun tidak singgah di situ.

Merak Jalanan nampak banyak perubahan restoran itu. Antaranya sudah menggunakan kod QR untuk pelanggan memesan makanan dan minuman.

Patutlah pekerjanya sudah tidak ramai seperti dulu.

Ini bukan kali pertama Merak Jalanan masuk dalam restoran yang menggunakan kod QR untuk memesan makanan. Sebelum ini ada beberapa restoran sudah menggunakannya.

Cuma yang menjadi masalah bagi Merak Jalanan apabila terpaksa mengambil masa lama membuat pesanan menerusi kod QR.

Maklum saja, terpaksa meneliti satu-satu menu dan menekan paparan seperti jumlah pesanan, ‘side order’ atau kalau-kalau ada ‘special request’.

Kalau salah tekan, silap-silap terpesan dua hidangan sama. Kalau dulu, panggil saja pelayan, terus ‘order’ pakai mulut, selesai.

Tapi itulah peredaran teknologi pada masa kini. Restoran tidak perlu lagi mengajikan pekerja untuk mengambil pesanan.

Mereka tidak lagi bergantung kepada warga asing untuk menjadi pelayan. Maklum saja, orang-orang tempatan sekarang bukan berminat untuk kerja di restoran.

Namun, penggunaan kod QR ini tidak digemari bagi mereka yang tidak mahir penggunaan telefon bimbit, terutama golongan warga emas.

Terkial-kial mereka membuat pesanan. Begitu juga bagi pelanggan yang tidak mempunyai telefon pintar atau hanya menggunakan telefon bimbit biasa.

Salah seorang saudara Merak Jalanan berstatus warga emas sendiri mengakui dia tidak akan pergi ke restoran yang menggunakan kod QR. Tak mesra pelanggan, katanya.

Malah, Merak Jalanan tersenyum sendiri apabila dia mengatakan restoran sebegitu hanya untuk orang-orang kaya.