MTDC mahu lebih banyak syarikat tempatan dibangunkan

Norhalim (tengah) bersama peserta program itu.
Norhalim (tengah) bersama peserta program itu.
A
A
A

KUANTAN - Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) mahu membangunkan lebih banyak syarikat tempatan yang boleh menghasilkan produk dan perkhidmatan bagi membantu usahawan kecil dan sederhana (IKS) ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus berkata, syarikat tempatan perlu dibangunkan dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap produk dan perkhidmatan di luar negara.

Menurutnya, justeru, pihaknya merasakan adalah perlu untuk MTDC membantu membangunkan syarikat tempatan dalam penghasilan produk dan perkhidmatan di negara ini.

“Jika kita tidak bangunkan syarikat tempatan sendiri maka nanti syarikat seperti IKS terpaksa membeli produk dan perkhidmatan dari negara luar.

“Jadi, sebab itu kita kena bangunkan sendiri Industri 4.0 supaya kita juga mampu mengeksport produk dan perkhidmatan mereka sekurang-kurangnya di semua negara Asean,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan MTDC Road2Growth 2019 - East Coast Region di sebuah hotel di sini, hari ini.

Norhalim berkata, dalam usaha ke arah Industri 4.0, peranan Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu dalam membangunkan teknologi bagi membolehkan usahawan menaiktaraf produk dan perkhidmatan mereka.

“IPT harus memainkan peranan mereka dalam menghasilkan teknologi supaya dapat membantu usahawan mencapai Industri 4.0,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu,menurutnya, walaupun terdapat beberapa negara seperti Thailand, Singapura dan Indonesia sudah ke arah Industri 4.0, namun Malaysia masih mempunyai peluang.

Jelasnya, Malaysia masih boleh membangunkan segmen pembekalan produk dan perkhidmatan Industri 4.0.

“Saya akui kita banyak produk dan perkhidmatan datang dari negara China, Jepun, Jerman dan sebagainya.. ia tidak boleh menidakkan peluang untuk kita membangunkan produk serta perkhidmatan kita sendiri.

“Kita bukan sahaja boleh membangunkan produk dan perkhidmatan untuk Malaysia, sebaliknya boleh mengeksport ke seluruh dunia termasuk negara Asean,” katanya.