Cina Muslim dan alam Melayu

A
A

SEJARAH hubungan antara negara China dan Alam Melayu sudah tercatat sejak sekitar 800 tahun dahulu, lebih awal daripada kedatangan Laksamana Cheng Ho.

Ini terbukti dengan penemuan sebuah batu nisan di perkuburan sekitar Bandar Seri Begawan, Brunei oleh Profesor Wolfgang Franke pada 1972.

Pada batu nisan tersebut tercatat nama Pu Kung, seorang Datuk Bandar Cina Muslim dari Quanzhou, Fujian, China, pada masa Dinasti Song (960–1279).

Sahabat saya, Haji Yusuf Liu Baojun yang berasal dari wilayah Gan Su, China, telah menetap di Malaysia sejak 1989 dan telah menulis lebih 15 buku berkenaan Cina Muslim sejak 1992.

Menurut buku beliau yang bertajuk Cina Muslim & Hubungannya dengan Alam Melayu, yang baru sahaja dilancarkan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Putra (PWTC) baru-baru ini, terdapat seorang tokoh Cina Muslim bernama Haji Hassan Salleh Ha Su Chiang yang telah berhijrah dari bandar Sanya yang terletak di Pulau Hainan, China ke Pulau Pinang sekitar 1880.

Haji Hassan telah banyak menyumbangkan hartanya untuk Islam serta banyak membantu golongan miskin, membina masjid, dan membangunkan masyarakat Islam di Pulau Pinang dan Pulau Hainan.

Kini terdapat lebih daripada 700 orang keturunan Haji Hassan di Malaysia dan ramai antara mereka telah melakar kejayaan masing-masing.

Antara cucu beliau ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kelima.

Selain itu, terdapat seorang lagi tokoh Cina Muslim yang memainkan peranan aktif dalam membina hubungan antara Cina Muslim dan alam Melayu iaitu Allahyarham Haji Ibrahim Ma Tian Ying.

Menurut kajian Haji Yusuf Liu juga, dari 1939 sehingga 1941, Haji Ibrahim Ma telah mengembara ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara dalam usahanya menyebarkan dakwah Islamiah serta memperkukuhkan hubungan masyarakat Cina Muslim dan alam Melayu.

Haji Ibrahim Ma berasal daripada keluarga Islam Shandong dan menetap di Beijing.

Beliau kembali semula ke Tanah Melayu pada 1948, ketika itu bersama keluarganya, iaitu isterinya Feng Yun Xia, tiga anak perempuan dan dua anak lelaki.

Beliau dilantik sebagai Konsul Besar Ipoh yang dihantar oleh kerajaan Kuomintang China.

Apabila China jatuh ke tangan komunis, pejabat konsulat di Ipoh telah ditutup. Haji Ibrahim telah memilih untuk terus menetap di Tanah Melayu selepas itu.

Beliau sangat rapat dengan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Tunku mempunyai inspirasi untuk melihat lebih ramai orang Cina memahami Islam, dan lebih baik lagi, menjadi Muslim yang dapat membantu merapatkan jurang perkauman antara Melayu dan Cina dan secara tidak langsung memberi manfaat kepada pembangunan negara.

Haji Ibrahim Ma bersama Tunku dan beberapa sahabat lain seperti Tan Sri Mubin Sheppard dan Tan Sri Ubaidullah telah sama-sama menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Haji Ibrahim Ma menggunakan Perkim sebagai platform untuk bercakap tentang Islam dalam bahasa Cina di radio, televisyen, di sekolah-sekolah dan di seluruh pelosok negara.

Beliau turut menulis beberapa buku kecil dalam bahasa Cina untuk memperkenalkan Islam dalam bahasa yang sangat mudah dan senang difahami oleh masyarakat Cina bukan Islam khususnya.

Legasi dakwah Haji Ibrahim Ma disambung oleh anak sulung beliau, Datuk Haji Mustapha Ma, yang kini merupakan Naib Yang Dipertua Perkim Kebangsaan serta bekas Presiden Macma Kebangsaan.

Haji Ibrahim Ma dan anak-anaknya merupakan satu lagi contoh keluarga Cina Muslim yang banyak memberikan sumbangan kepada perkembangan dakwah di Malaysia.

Mereka merupakan keluarga Cina Islam yang tidak memerlukan asimilasi dengan budaya Melayu.

Kesemua mereka boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan Mandarin dengan fasih, di samping bahasa Inggeris, dan juga dialek Kantonis dan Hokkien. Mereka memahami budaya Melayu dan Islam tempatan, dan juga tradisi Cina.

Ternyata Cina Muslim juga mempunyai sejarah yang lama dan sumbangan yang banyak kepada dakwah Islamiah di Malaysia.

Amat baik sekiranya gerak kerja dakwah diperkukuhkan antara organisasi Islam pelbagai kaum demi menyemarakkan ukhuwah dan perpaduan nasional.

* Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.