Jangan biar Covid-19 ‘mengganas’ lagi

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEJAK minggu lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mula mengingatkan rakyat negara ini supaya tidak mengambil ringan penularan kes Covid-19 melibatkan dua subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 yang kini merebak dengan pantas.

Malah, KKM juga menjangkakan jumlah jangkitan baharu Covid-19 akan meningkat disebabkan penularan dua subvarian berkenaan dan kemungkinan gelombang keempat Covid-19 melanda negara tidak lama lagi.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, lebih 110 negara telah merekodkan peningkatan kes Covid-19 yang didorong oleh kedua-dua subvarian tersebut.

Katanya, selain Malaysia, negara jiran seperti Singapura dan Indonesia juga sedang mengalami peningkatan kes.

Setakat Selasa, Malaysia telah merekodkan sebanyak 2,345 kes baharu Covid-19, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara ini sebanyak 4,529,201 kes.

Menurut portal CovidNow, sebanyak tiga kematian direkodkan dengan satu daripadanya adalah kematian di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik kini sebanyak 35,819 kes.

Peningkatan kes Covid-19 melibatkan dua subvarian tersebut wajar diambil perhatian oleh semua pihak memandangkan Omicron BA.5 lebih mudah menjangkiti berbanding varian Omicron sebelumnya iaitu BA.1 dan BA.2.

Di peringkat global, sublineage BA.4 menunjukkan kadar pe-ningkatan daripada 11 peratus pada minggu epidemik 24 bagi 2022 kepada 12 peratus pada minggu epdemik 25, manakala sublineage BA.5 menunjukkan peningkatan dari 37 peratus ke 52 peratus.

Jangan kita alpa kerana Covid-19 akan menjangkiti sesiapa sahaja, malah terdapat ramai individu dijangkiti semula untuk kali kedua atau ketiga.

Menurut Pakar Epidemiologi dan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Fakulti Perubatan di Universiti Malaya, Profesor Dr Noran Naqiah Mohd Hairi, jumlah jangkitan akan terus bertambah terutamanya dengan penularan Omicron varian BA.4 dan BA.5.

Menurutnya, kemungkinan untuk dijangkiti semula dengan salah satu varian Omicron bagi setiap dua hingga tiga minggu boleh berlaku.

“Omicron varian BA.4 dan BA.5 adalah lebih berjangkit daripada varian dan subvarian Covid-19 sebelumnya. Malah, ia lebih berupaya mencegah pertahanan imun yang disebabkan oleh vaksin atau oleh jangkitan semula jadi.

“Disebabkan itu, walaupun seseorang itu sudah dijangkiti oleh Omicron sebelum ini, mereka masih boleh dijangkiti sekali lagi dengan Omicron varian BA.4 atau BA.5,” katanya.

Bagi mengekang penularan Covid-19 di negara ini, kerajaan turut menasihatkan rakyat terutama golongan warga emas dan mereka yang berisiko tinggi supaya segera mendapatkan suntikan dos penggalak.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seramai tujuh juta rakyat di negara ini masih belum mengambil dos penggalak Covid-19.

Beliau berkata, walaupun suntikan tersebut tidak diwajibkan, namun ia amat penting kerana kes positif Covid-19 kembali menunjukkan peningkatan, selain turut membantu berdepan varian baharu wabak itu terutama Omicron BA.5 yang lebih mudah menjangkiti.

Penulis sedar ramai yang mula bersuara apabila pihak kerajaan menyarankan rakyat Malaysia mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19.

Ada juga yang mula bercakap-cakap, sampai bila harus disuntik dengan vaksin Covid-19.

Namun, perlu diingat kita perlu waspada dan mengambil tindakan pantas agar penularan wabak Covid-19 dapat dikekang sebaiknya walaupun pelbagai kelonggaran telah diberikan sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April lalu.

Seeloknya saranan dan panduan yang diberikan pihak KKM dipatuhi terutama dalam aspek pemakaian pelitup muka di tempat sesak, selain mengamalkan langkah-langkah uji, lapor, maklum, asing dan dapatkan rawatan (TRIIS).

Pastinya kita semua tidak mahu sejarah pahit dua tahun lalu berulang lagi.

Kita juga tidak mahu orang tersayang di sekeliling kita dijangkiti Covid-19 dan meninggalkan kita buat selama-lamanya kerana virus jahat tersebut. Jangan menangis lagi angkara Covid-19.

* Siti Shamila Che Zahari ialah Editor Pengisian Sinar Harian