Pekerja pasar raya didenda RM300

Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Alor Gajah.
Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Alor Gajah.
A
A
A

ALOR GAJAH - Gara-gara membenarkan akaun bank peribadi digunakan individu lain, seorang lelaki didenda RM300 oleh mahkamah majistret, di sini, hari ini.

Majistret Zaridah Y Abdul Jaapar menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Chin Wei Yong, 26, mengaku salah terhadap tuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bekerja di sebuah pasar raya di Tawau, Sabah, telah menyembunyikan harta dengan curang milik seorang pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berusia 25 tahun berjumlah RM2,050 melalui akaun Ambank yang didaftarkan atas namanya.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah mesin ATM kedai serbaneka 24 jam di Bukit Mahkota Bangi, Selangor pada jam 4.29 petang, 6 Mei 2016.

Mangsa sebelum itu dihubungi seorang lelaki yang tidak dikenali dan masih bebas bahawa dia telah memenangi cabutan bertuah dari syarikat telekomunikasi sebanyak RM5,000 melalui telefon bimbit.

Lelaki berkenaan memberitahu, mangsa perlu membuat pembayaran ke dalam akaun tertuduh pada 5 Mei 2019 sebelum dia akhirnya bertindak demikian.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau dengan kedua-dua jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya S Arthana memohon hukuman setimpal dikenakan ke atasnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Loong Meng Si merayu agar hukuman ringan dikenakan dengan alasan dia hanya bekerja dengan pendapatan RM900 sebulan selain perlu menanggung seorang adik berusia 17 tahun dan masih bersekolah selepas kematian ibu dan bapanya.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan Wei Yong didenda RM300 atau sebulan penjara jika gagal menjelaskan denda dikenakan dan tertuduh membayar denda.