Tujuh nelayan Vietnam ditahan

Bot nelayan asing yang ditahan.
A
A

KUANTAN- Sebuah bot nelayan asing bersama tekong dan enam awak-awak warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana menceroboh perairan negeri ini untuk menangkap ikan.

Bot terbabit ditahan kira-kira jam 12.40 tengah hari semalam di lokasi kira-kira 54 batu nautika dari Kuantan.

Pengarah Maritim negeri Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, bot terbabit ditahan untuk pemeriksaan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut, pihaknya menemui dan merampas sotong basah yang dianggarkan seberat hampir 150 kilogram.

“Kita percaya hasil tangkapan itu diperoleh dalam perairan negeri ini dan dibawa keluar untuk dijual di negara asing dengan harga yang lebih tinggi.

“Nilai rampasan termasuk bot dianggarkan hampir RM500,000,” katanya.

Zulkarnain berkata, bot bersama semua tujuh nelayan warga Vietnam berusia antara 20 hingga 45 tahun ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, sehingga hari ini, Maritim Pahang melakukan 315 pemeriksaan dan 12 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan.

“Orang ramai disaran memberi kerjasama dan bersama-sama membantu menangani sebarang aduan kesalahan atau jenayah di perairan negara dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345,” katanya.