FAM, Maloney berpisah

Brad Maloney
Brad Maloney
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) 'melepaskan' pengendali skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney secara persetujuan bersama oleh kedua-dua belah pihak.

Perkembangan itu diumumkan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar menerusi satu kenyataan media sebentar tadi.

“Maloney hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi tadi bagi membentangkan laporan prestasi pasukan kendaliannya pada Sukan SEA 2021 di Vietnam, Mei lalu dan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan, Jun lalu,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Saifuddin mengucapkan ribuan terima kasih atas segala jasa dan sumbangan Maloney dalam membantu memajukan bola sepak tanah air.

“Selamat maju jaya kepada Maloney dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini. Jasa dan sumbangan beliau sepanjang lapan tahun bersama FAM ini akan sentiasa dikenang,” ujarnya.

Untuk rekod, Maloney yang masih mempunyai kontrak hingga hujung tahun 2022, mula berkhidmat bersama FAM sejak 2014 sebagai penolong jurulatih skuad B-23 kepada Datuk Ong Kim Swee.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai ketua jurulatih B-19 pada 2019 seterusnya menggalas tugas sebagai pengendali B-23 kebangsaan.

Antara kejayaan yang berjaya dicapai pengendali kelahiran Australia itu ialah membawa Harimau Muda beraksi di pentas Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun lalu.

Selain itu, beliau juga pernah membawa skuad muda negara menjadi naib juara Kejohanan AFF B-19 pada tahun 2019.