Mohamad tak mahu ambil mudah

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media di Bilik Gerakan BN, hari ini. Foto: Bernama
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media di Bilik Gerakan BN, hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau tidak akan mengambil mudah PRK berkenaan di sebalik dakwaan dirinya dikenali ramai pengundi berbanding saingannya.

Bekas menteri besar tiga penggal itu berkata seperti mana calon lain, beliau juga akan meluangkan tempoh kempen untuk bertemu seramai mungkin pengundi.

"Politik ini dinamik bukan statik, saya tak boleh rasa selesa dan tak boleh ambil mudah, saya akan cuba sebaik mungkin jumpa pengundi," katanya pada sidang media hari ketiga kempen PRK berkenaan, di sini hari ini.

Beliau yang mempertahankan kerusi DUN berkenaan berdepan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram dan dua calon Bebas R. Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden itu juga menyifatkan PRK tersebut “ibu segala PRK” yang amat penting kepada BN dan juga PH.

"(Penting) Bukan kerana kerusi Rantau.. (sebab) kalau menang pun tak akan mengubah kerajan persekutuan. Ia (penting) kerana saya yang bertanding di sini," katanya.

Beliau juga berharap semua pemimpin parti politik di negara ini mengamalkan politik matang dan tidak lagi membawa politik memburuk-burukkan orang.

"Kita perlu menguntungkan rakyat kerana selagi kita amalkan politik memburukkan orang, negara kita takkan ke mana," katanya.

Artikel Berkaitan:

PRK Rantau diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah. -Bernama