Peniaga terkejut pelanggan tetap bertanding calon bebas

Calon Bebas Malarvizhi Rajaram (kanan) beramah mesra dengan peniaga Pasar Pekan Rantau ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, hari ini. - Foto Bernama
Calon Bebas Malarvizhi Rajaram (kanan) beramah mesra dengan peniaga Pasar Pekan Rantau ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Beberapa peniaga di pasar pekan Rantau di sini terkejut apabila mengetahui pelanggan tetap mereka, R. Malarvizhi bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Menyifatkan suri rumah itu seorang yang mesra namun lantang bersuara, Sapini Bojet, 53, berkata Malarvizhi selalunya datang membeli sayur dan ayam.

“Selalu datang beli barang dapur kali ini datang sebagai calon. Saya memang terperanjat tengok dia jadi calon Bebas semasa penamaan calon Sabtu lepas,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Sapini yang berniaga di pasar itu sejak lebih setahun lepas berharap Malarvizhi dapat membantu menjaga kebajikan masyarakat dan pembangunan di Rantau sekiranya menang pada PRK kali ini.

Seorang lagi peniaga, N Rani, 53, berharap wanita tersebut dapat melakukan sedikit perubahan di pasar itu sekiranya menang PRK berkenaan.

“Dia telah lama menjadi pelanggan saya dan memang baik... kami mesti sokong dia walaupun dia baru masuk politik,” katanya yang berniaga di pasar tersebut selama 20 tahun.

V Lobathi, 56, pula mahu wakil rakyat baharu membaik pulih pasar terutamanya dari segi kemudahan seperti lampu dan tandas serta kebersihan pasar yang didakwanya terabai sejak lebih tujuh bulan lepas.

“Apabila kami buat aduan, mereka minta kami pergi ke Majlis Perbandaran Nilai sehingga kami tidak tahu dengan siapa perlu berunding,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain Malarvizhi, PRK DUN Rantau pada 13 April ini akan menyaksikan tiga lagi calon bertanding iaitu Dr S. Streram (Pakatan Harapan), bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan (BN) dan seorang lagi calon Bebas Mohd Nor Yassin.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14, terbatal dan tidak sah. - Bernama