Jangan jadi ‘Mak Cik kepoh’, jagalah adab ketika berbicara

No Image Caption
A
A
A

WALAUPUN fasa pandemik Covid-19 kini beralih kepada fasa endemik, masih ramai orang yang terjejas dari segi ekonomi sama ada dibuang kerja, perniagaan gulung tikar ataupun pencari nafkah utama meninggal dunia.

Tidak semua daripada mereka dapat bangkit dengan segera, apatah lagi berjaya mengubati luka lara.

Ketika sambutan Hari Raya Aidiladha pada Ahad lalu, Merak Jalanan sempat menziarahi rumah ibu saudara di selatan tanah air.

Berkesempatan melihat acara korban dan melapah lembu di surau benar-benar membuatkan hati Merak Jalanan teruja sama seperti kanak-kanak yang turut berada di situ.

Mujurlah tiada kejadian amuk oleh haiwan korban seperti yang tular di beberapa tempat di dalam negara.

Selepas membawa pulang sedikit daging korban, sepupu-sepupu Merak Jalanan duduk semeja sambil berbual kosong. Maklumlah sudah dua tahun tidak berjumpa secara fizikal.

Perbualan kami terhenti apabila salah seorang ibu saudara menyampuk perbualan kami.

Kata-katanya lebih ditujukan kepada sepupu perempuan Merak Jalanan yang kematian suaminya akibat Covid-19.

“Siti dah kerja ke? Mak Cik tengok dah setahun suami meninggal tapi kamu macam okey sahaja. Nak bagi anak-anak makan apa?” tegur beliau di hadapan kami semua.

Merah padam muka sepupu Merak Jalanan menahan malu dan marah.

Merak Jalanan turut terkejut mendengar kata-kata ‘tidak beralas’ itu.

Sepupu Merak Jalanan hanya membalas: “Kalau Mak Cik nak tahu, semua harta arwah suami hibah untuk saya termasuk kereta yang saya gunakan itu, suami beli letak nama saya.

Insya-ALLAH anak-anak masih boleh sekolah walaupun ayah mereka telah tiada.”Sekali lagi kami terkedu, manakala ibu saudara pula terus angkat kaki.

Moralnya di sini, jagalah adab dan bahasa ketika berbicara.