Segera dapatkan dos penggalak, kes Covid-19 makin meningkat

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menasihati individu yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19 agar segera berbuat demikian susulan peningkatan jangkitan kes virus itu sejak kebelakangan ini.

Beliau turut menyarankan rakyat Malaysia yang belum menerima suntikan agar mendapatkan Paxlovid, ubat antiviral di fasiliti Kementerian Kesihatan sejak 15 April lepas bagi merawat pesakit Covid-19 dengan gejala ringan dan sederhana (kategori dua dan tiga).

"Dapatkan suntikan, jika anda belum berbuat demikian. Dapatkan Paxlovid, jika anda berisiko tinggi dan positif Covid-19,” katanya di akaun Twitter rasmi beliau hari ini.

Khairy juga menggesa agar rakyat Malaysia memakai pelitup muka apabila berada di kawasan tertutup atau sesak selain mengamalkan kaedah TRIIS (uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan).

Dilaporkan bahawa tujuh juta rakyat Malaysia belum mendapatkan dos penggalak Covid-19 setakat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, meskipun dos penggalak tidak diwajibkan, ia masih penting kerana bukan sahaja kes positif Covid-19 telah kembali dengan trend menaik, tetapi dos itu juga akan membantu menghadapi varian baharu virus terutama Omicron BA.5 yang lebih mudah berjangkit.

Khairy berkata, pemberian Paxlovid kepada pesakit di fasiliti kesihatan swasta adalah percuma namun pesakit masih perlu membayar caj perkhidmatan konsultasi dan caj lain yang berkaitan.-Bernama