ICERD: Silakan berhimpun tetapi jaga keamanan

Mohamed Hanipa Maidin
Mohamed Hanipa Maidin
A
A
A

KEPALA BATAS - Peserta perhimpunan aman bagi ‘kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu negara hari ini diminta agar menjaga keamanan dan kebersihan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin berkata setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mengadakan perhimpunan aman mengikut undang-undang negara, namun perhimpunan itu perlu dikawal supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi.

"Saya mengulangi apa dikatakan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad)...jika mereka mahu berhimpun, nak buat kesyukuran...itu hak mereka, janji jangan ada apa-apa tindakan provokatif.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita semua bertanggungjawab jaga keamanan. Memang dulu sewaktu kami (pihak pembangkang) berhimpun, kami akan ingatkan kepada pengikut supaya menjaga keamanan, kebersihan dan sebagainya," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan program Khatan Asnaf di sini malam tadi.

Mohamed Hanipa turut mengingatkan pemimpin daripada pihak yang menyokong perhimpunan tersebut agar turut serta esok, dan tidak hanya membiarkan pengikut berhimpun.

"Kita harap jangan pengikut sahaja yang pergi (esok), pemimpin pun kena pergi," katanya.

Terdahulu, Mohamed Hanipa merasmikan program Khatan Asnaf dianjurkan parti Amanah Cawangan Kepala Batas bersama Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) yang disertai 40 kanak-kanak asnaf dari kawasan setempat. - Bernama

Artikel Berkaitan: