Kes culik tular hanya rekaan

Laporan Sinar Harian, 3 Mac lalu.
Laporan Sinar Harian, 3 Mac lalu.
A
A
A

PONTIAN - Tiga kes cubaan culik yang tular di media sosial didakwa berlaku di daerah ini tidak benar kerana direka-reka.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, tiga kes yang dilaporkan berlaku di Api-Api, Sanglang dan Benut tular di Facebook dan WhatsApp.

"Kes pertama pada 26 Februari, ibu kepada seorang pelajar Darjah 3 Sekolah Kebangsaan (SK) Api-Api buat laporan polis berhubung anaknya cuba diculik seorang lelaki menaiki van merah.

"Kes kedua pada 15 Mac, laporan polis oleh ibu pelajar Sekolah Agama Sanglang berkait maklumat anak lelakinya berusia 10 tahun diekori lelaki yang menaiki van putih.

"Kes ketiga pada 28 Mac, laporan polis dibuat seorang ibu mendakwa anak lelakinya berusia 11 tahun didekati lelaki tidak dikenali di sebuah bank di Pekan Benut dan meminta untuk diambil gambar," katanya.

Jelasnya, berdasarkan kepada ketiga-tiga laporan tersebut, hasil siasatan yang dilakukan mendapati kejadian culik tidak berlaku.

"Bagi kes pertama, siasatan mendapati anak pengadu sengaja mereka-reka cerita kerana ingin mendapat perhatian ibunya yang sering lewat mengambilnya pulang dari sekolah.

"Bagi kes kedua, siasatan mendapati anak pengadu sengaja mereka- reka cerita kerana kurang mendapat perhatian dari ibunya yang asyik sibuk bekerja.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kes ketiga pula, pengadu sengaja mereka-reka cerita, kejadian sebenar adalah seorang lelaki meminta tolong diambilkan gambar sahaja menggunakan telefon bimbit," katanya, semalam.

Menurut Mustafa, ketiga-tiga kisah itu telah dimuat naik tanpa usul periksa sehingga menjadi tular dan menimbulkan keresahan kepada ibu bapa dan masyarakat di daerah ini berhubung keselamatan anak-anak mereka.

"Kami minta ibu bapa dan orang ramai tidak mempercayai berita- berita yang tular tanpa mendapatkan maklumat sahih dari pihak polis.

"Jangan tularkan cerita yang tidak benar keran boleh timbulkan kegusaran. Pihak polis dan sekolah sentiasa bekerjasama dalam hal- hal keselamatan pelajar sekolah bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku," katanya.