Rugi RM20 juta diperdaya skim SLP, SKJ

Rashidi (tengah) bersama mangsa lain dari sekitar Lembah Klang berkumpul di premis syarikat hartanah terbabit bagi menuntut hak mereka.
Rashidi (tengah) bersama mangsa lain dari sekitar Lembah Klang berkumpul di premis syarikat hartanah terbabit bagi menuntut hak mereka.
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Seramai 400 kakitangan awam mendakwa kerugian kira-kira RM20 juta selepas menjadi mangsa penipuan skim pajak kereta (SLP) dan skim kereta jimat (SKJ) yang ditawarkan oleh sebuah syarikat hartanah di Taman Equine, di sini.

Seorang mangsa, Rashidi Johan, 64, berkata, sebelum mengetahui dirinya ditipu, dia mendakwa ditawarkan skim SLP oleh pemilik syarikat berkenaan kononnya bagi mendapatkan dana untuk membangunkan projek perumahan semi D di Sepang.

Menurutnya, syarat menerusi skim terbabit adalah dengan memajakkan kereta kepada syarikat tersebut untuk dijual kepada pihak ketiga bagi mendapatkan dana untuk projek tersebut.

"Bagi mangsa yang memajakkan kereta, kami dijanjikan akan menerima faedah keuntungan bulanan dan jumlahnya bergantung kepada jenis kereta, selain bayaran bulanan kepada bank akan ditanggung oleh syarikat berkenaan.

"Bagi pihak ketiga (mangsa yang beli kereta pajak), mereka diberi potongan harga sebanyak 30 peratus dari harga pasaran tapi perlu membayar penuh secara tunai kepada syarikat terbabit.

"Mereka turut dijanjikan, bayaran bulanan kepada bank akan ditanggung pihak syarikat," katanya kepada pemberita pada sidang media di hadapan premis syarikat itu, di sini semalam.

Rashidi yang juga pesara guru berkata, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana pemilik syarikat yang dipanggil 'Ustaz Noordin' dan isterinya seorang ustazah itu begitu licik serta sangat meyakinkan.

"Siapa pun pasti beranggapan mereka ni orang baik-baik, tak mungkinlah ustaz dan ustazah akan menipu dan memanipulasi kami, tapi sangkaan kami meleset.

Artikel Berkaitan:

"Saya tandatangani perjanjian pajak kereta dengan syarikat itu pada Mei 2017 dan mula menerima faedah keuntungan bermula Ogos tahun sama.

"Namun, bayaran faedah itu dihentikan pada Ogos 2018 sehingga sekarang," katanya.

Menurutnya, dia turut dihubungi pihak bank memaklumkan terdapat tunggakan bayaran bulanan, selain kereta akan ditarik.

Katanya, kereta yang dipajakkan walaupun sudah dijual kepada pihak ketiga, nama pemilik asal kenderaan hanya boleh ditukar selepas lima tahun mengikut perjanjian skim terbabit.

Disebabkan itu katanya, segala penipuan syarikat itu terbongkar dan cubaannya bersama mangsa lain untuk bersemuka dengan pemilik syarikat bagi mendapatkan penjelasan juga gagal.

Bagaimanapun katanya, dia dan mangsa lain akan menuntut hak di mahkamah.

Rashidi berkata, dia dan isteri masing-masing memajakkan empat kereta, manakala, empat anak mereka masing-masing memajakkan dua kenderaan.

Katanya, kebiasaannya seorang mangsa paling minimum memajakkan dua kenderaan dan maksimum lapan kenderaan melibatkan jenis Perodua serta Honda.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Sudin, 60 berkata, dia kerugian RM53,900 selepas membeli kereta jenis Honda Jazz yang dipajak oleh mangsa lain dan dijual kepadanya oleh syarikat tersebut.

Menurutnya, dia hanya mengetahui dirinya ditipu oleh syarikat itu selepas menerima notis memaklumkan syarikat tidak mampu menanggung bayaran kepada bank untuk tempoh enam bulan ke depan dan meminta pembeli membayar sendiri jika tidak mahu kereta ditarik.

"Saya kena bayar sendiri lebih RM900 sebulan sedangkan dalam perjanjian ia di bawah tanggungan syarikat.

"Akhirnya saya putuskan tak bayar apa-apa kepada bank dan akan pulangkan kereta kepada pemilik asal," katanya.

Difahamkan, setakat ini, 48 mangsa membuat laporan polis dan melantik peguam bagi menyelesaikan perkara itu mengikut undang-undang.