Iktiraf UEC: Masih terlalu awal, perlu perbincangan teliti

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Semua keputusan melibatkan pengiktirafan Sijil Kelayakan Bersepadu (UEC) perlu melalui perbincangan dengan semua pihak berkepentingan.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, perbincangan perlu dibuat bagi mengelak masalah di kemudian hari.

Menurutnya, masih terlalu awal untuk Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas mengiktiraf UEC bagi membolehkan pelajarnya mengambil Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG).

“Bagi saya, implikasi negatif dari pengiktirafan ini akan ada kerana Kementerian Pendidikan pun masih belum iktiraf sepenuhnya terutamanya di Semenanjung Malaysia.

“Pada saya, untuk mengiktiraf UEC ini mungkin masih terlalu awal. Sebelum pengiktirafan dibuat, perlu ada perbincangan dengan pihak berkepentingan.

“Dalam konteks ini, ada banyak pihak berkepentingan termasuklah Kementerian Pendidikan sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Iktiraf UEC undang polemik berpanjangan: Noraini

Tambah beliau, mungkin adanya keperluan untuk mengiktiraf UEC namun ia tidak boleh dilihat seolah-olah memberi pengiktirafan secara terpilih.

Artikel Berkaitan:

“Dari segi pengiktirafan, mungkin keperluan itu ada, sebab itu perbincangan dibuat namun ia tidak boleh dilihat seperti adanya beri pengiktirafan secara terpilih.

“Misalnya, Kementeria Pendidikan belum lagi iktiraf tapi lembaga itu sudah iktiraf. Nanti akan ada masalah kenapa ini iktiraf dan itu tidak pula,” ujar beliau.

Jelasnya, tiada masalah untuk iktiraf UEC memandangkan Sabah dan Sarawak sudah berbuat demikian namun tidak elok sekiranya pelaksanaan itu dilihat dibuat secara terpilih kerana ia akan beri kesan pada masa depan.

“Apabila pengiktirafan dibuat, biarlah ia dibuat dalam kerangka perbincangan melibatkan semua pihak,” katanya.

Semalam, Tommy dalam kenyataan memaklumkan PSAG akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ bermula 1 Januari 2021.

Katanya, perubahan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap cadangan daripada orang ramai berkenaan isu tersebut.

Menurutnya, pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada beberapa universiti di United Kingdom mengenai penerimaan UEC sebagai syarat kelayakan untuk kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang.