Benarkah SPV Tabung Haji diurus bukan Islam?

A
A
A

BARU-BARU ini, kontroversi yang tercetus adalah mengenai Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang mengambil alih aset kurang bagus (non-performing assets) Tabung Haji (TH).

Pihak pembangkang khususnya memainkan isu kononnya SPV tersebut diurus oleh bukan Islam. Untuk menjawab isu ini, penting supaya kita berbalik kepada persoalan asas tentang isu ini.

Mengapa perlu ada SPV untuk ambil alih aset Tabung Haji? Jika kita ingat, tahun lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa memaklumkan bahawa liabiliti Tabung Haji adalah melebihi aset.

Terdapat defisit RM4.1 bilion setakat 31 Disember 2017. Dalam keadaan ini, apa-apa pemberian hibah tidak dibenarkan menurut Akta Tabung Haji 1995.

Maka untuk Tabung Haji terus memberikan hibah, situasi ini harus diperbetulkan. Maka sebab itu diwujudkan SPV untuk mengambil alih aset kurang bagus Tabung Haji. Nama SPV tersebut adalah Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).

Aset-aset itu dipindahkan dengan nilai RM19.9 bilion daripada pihak Kerajaan ke Tabung Haji. Namun demikian, nilai buku aset-aset tersebut hanyalah sekitar RM10 bilion sahaja.

Untuk pulihkan Tabung Haji, aset itu telah dipindahkan dengan pernilaian yang lebih tinggi daripada nilai bukunya. Aset yang dipindahkan ke SPV tidak termasuk wang orang yang telah mendeposit kepada Tabung Haji.

UJSB akan memberikan Tabung Haji aset RM19.9 bilion sebagai balasan menerima aset TH yang hanya bernilai kira-kira RM10 bilion. Proses ini adalah pertukaran aset bernilai rendah dengan aset bernilai tinggi. Tabung Haji mendapat aset yang lebih besar melalui proses ini.

Artikel Berkaitan:

Sebab itu, secara asasnya ini adalah suatu tindakan penyelamatan (bailout) oleh kerajaan. Siapa yang ‘mengawal’ UJSB? Pengurusan sesebuah syarikat terletak pada lembaga pengarah, seperti yang termaktub dalam akta syarikat.

Lembaga pengarah UJSB terdiri daripada pegawai-pegawai kementerian seperti Ahmad Badri Mohd Zahir (Ketua Setiausaha Perbendaharaan), Rashidah Mohd Sies (Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan), Mohd Shukri Hussin (Pengarah Pelaburan Hartanah Bumiputera Bhd), Mohd Hassan Ahmad (Timbalan Setiausaha Fiskal Dan Ekonomi) dan Imri Dolhadi Ab Wahab (Ketua Seksyen Bahagian Fiskal Dan Ekonomi).

Salah satu isu yang dibangkitkan adalah kononnya aset ini kini dikawal oleh bukan Islam. Tetapi sebenarnya, Tabung Haji sudahpun mendapat aset nilai tinggi daripada pelaksanaan pemindahan aset. Kesemua aset baik masih dengan Tabung Haji. Dan dalam apa jua keadaan sekalipun, Lembaga UJSB semua beragama Islam.

Persoalan tentang siapa yang uruskan UJSB pula dibangkitkan, apabila menteri memaklumkan bahawa UJSB diurus oleh sebuah entiti bernama ‘Prokhas’. Apa itu Prokhas? Sebuah syarikat milik kerajaan yang ditugaskan mengurus SPV-SPV lain selain daripada Urusharta Jamaah. Ia ditubuhkan sekitar tahun 2005.

Prokhas ini dimiliki oleh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan. Siapa ahli lembaga pengarah syarikat Prokhas?

Menurut laman sesawang mereka adalah Datuk Mohd Salleh Mahmud, Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukor Mahfar, Datuk Fauziah Yaacob, Datuk Mohd Nasir Ahmad dan Datin Rashidah Mohd Sies.

Isu yang dibangkitkan adalah tentang CEO Prokhas, seseorang yang bernama Chen Yin Heng. Tetapi kalau ikut pentadbiran mana-mana syarikat, CEO perlu menjawab pada lembaga pengarah.

Di samping itu, Chen Yin Heng adalah CEO Prokhas, bukan CEO UJSB. Semua keputusan besar mengenai aset yang diurus mesti melalui Lembaga Pengarah Prokhas.

Segala keputusan mengenai UJSB juga perlu mendapat persetujuan Lembaga Pengarah UJSB. Tidak timbul langsung isu TH diurus oleh bukan Muslim, sebenarnya.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur