Bayi setahun maut selepas terjatuh dalam bekas berisi air panas

Daniil Chernenko yang mengalami lecur teruk di 80 peratus bahagian badannya terbaring di katil hospital.
Daniil Chernenko yang mengalami lecur teruk di 80 peratus bahagian badannya terbaring di katil hospital.
A
A
A

ODESSA OBLAST - UKRAINE . Seorang bayi lelaki berusia setahun di Ukraine dilapor meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam bekas berisi air panas yang disediakan ibunya ketika mahu memandikan anak kecil berkenaan.

Dalam kejadian di wilayah Odessa Oblast itu, Daniil Chernenko melecur teruk di 80 peratus bahagian badannya setelah terjatuh ke dalam bekas berisi air panas.

Ibu mangsa, Tetyana Chernenko berkata, ketika kejadian dia membawa masuk bekas besar berisi air panas ke dalam bilik dan meletakkannya di lantai bersebelahan sebuah meja.

Ketika dia pergi untuk mengambil air sejuk untuk dicampur ke dalam bekas air panas tersebut, anaknya dikatakan bermain di atas meja itu sebelum terjatuh ke dalam bekas terbabit.

"Saya melihat anak saya terjatuh dan bergegas menariknya keluar daripada bekas tersebut.

"Tanpa berlengah saya membalut tubuhnya dan ketika itu saya nampak kulitnya mula tanggal," kata Tetyana sambil menambah dia tidak akan dapat memaafkan dirinya atas apa yang menimpa Daniil.

Daniil dikejarkan ke sebuah hospital di Odessa dalam keadaan kritikal dan selepas 11 hari bertarung nyawa, anak kecil berkenaan disahkan meninggal dunia, hanya dua hari selepas menyambut hari kelahirannya yang pertama.- DAILYMAIL

Artikel Berkaitan: