Tiada petunjuk Lynas timbulkan masalah

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Jawatankuasa Penilaian yang ditubuhkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) tidak memberi sebarang petunjuk bahawa peningkatan konsentrasi logam berat di dalam air bawah tanah adalah disebabkan operasi oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas).

Pengurus Besar Pematuhan Keselamatan dan Pengawalan Radiasi Lynas Prof Ismail Bahari berkata, jawatankuasa itu dalam laporannya yang dikemukakan kepada kerajaan pada Disember 2018, hanya membuat cadangan untuk menjalankan penyelidikan lanjut tentang air bawah tanah di kawasan perindustrian Gebeng di sini.

"Lynas dengan kerjasama makmal-makmal yang bertauliah kini menjalankan siasatan bebas untuk menolak sebarang kemungkinan bahawa pencemaran itu disebabkan oleh operasi kami," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata demikian susulan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, seperti yang dilaporkan oleh media hari ini, bahawa air bawah tanah di bawah Lynas tercemar dengan logam berat.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan dengar pandangan Lynas sahaja

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan mendakwa bahawa air bawah tanah yang tercemar akan memberi kesan kepada penduduk kampung yang tinggal di sekitar Gebeng, kerana sebahagian daripada mereka masih bergantung kepada telaga tiub untuk kegunaan harian mereka.

Ismail menarik perhatian bahawa jawatankuasa itu yang terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang telah menyatakan bahawa operasi Lynas adalah berisiko rendah, mematuhi peraturan-peraturan berkaitan, dan kemudahan penyimpanan residu dikendalikan dengan cara yang selamat dan diluluskan oleh pengawal selia.

"Jawatankuasa tersebut juga menyatakan bahawa Lynas merupakan syarikat pengeluaran nadir bumi dan ia tidak boleh dibandingkan dengan loji nuklear atau kilang yang menghasilkan thorium atau uranium.

Artikel Berkaitan:

"Risiko sinaran tidak ditentukan oleh separuh hayat sesuatu bahan sahaja, tetapi lebih penting oleh tahap pendedahan. Malaysia menggunapakai tahap pendedahan yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Antarabangsa bagi Perlindungan Radiologi (ICRP) bagi bagi pekerja dan orang awam dan Lynas mematuhi sepenuhnya tahap ini,” katanya.

Ismail berkata bahawa residu radioaktif sangat rendah yang dihasilkan oleh Lynas bukan satu-satunya sisa yang dikeluarkan di Malaysia kerana industri minyak dan gas, industri perlombongan timah juga mengeluarkan sisa radioaktif.

"Industri-industri berkenan telah beroperasi selama bertahun-tahun,” katanya.

Ismail berkata bahawa Lynas komited untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia dan membantu Malaysia menjadi satu-satunya pusat nadir bumi di luar China.

Lynas juga telah mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan secara langsung di negara ini dengan 97 peratus daripada pekerjaan itu diisi oleh rakyat Malaysia. - Bernama