Buku meja kopi rekod pencapaian Malaysia Airlines

Tiga dari kanan: Kapten Izham, Ka Siong dan Wan Zulkifli ketika Majlis Pelancaran Buku Meja Kopi bertajuk ‘Rising to a New Horizon: A New Journey Begins’ pada Khamis.
Tiga dari kanan: Kapten Izham, Ka Siong dan Wan Zulkifli ketika Majlis Pelancaran Buku Meja Kopi bertajuk ‘Rising to a New Horizon: A New Journey Begins’ pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Malaysia Aviation Group (MAG) melancarkan buku meja kopi bertajuk ‘Rising to a New Horizon: A New Journey Begins’ yang mengisahkan sejarah 85 tahun syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines.

Buku yang dibentangkan dalam tujuh bab itu turut mendedahkan bagaimana Malaysia Airlines menghadapi cabaran dari permulaannya yang sederhana pada tahun 1947 dengan hanya lima penumpang sehingga menjadi syarikat penerbangan bertaraf dunia hari ini, membawa 40,000 penumpang setiap hari ke lebih 900 destinasi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, buku itu akan menjadi titik rujukan dalam sejarah yang merekodkan pencapaiannya beberapa tahun kebelakangan ini dalam memulihkan syarikat selepas berjaya memuktamadkan penstrukturan semula.

“Melalui gambar arkib yang mungkin tidak pernah dilihat oleh sesetengah pihak sebelum ini, buku meja kopi ini merangkumi perjalanan bagaimana Malaysia Airlines telah berkhidmat kepada negara sepanjang 85 tahun yang lalu.

“Kami bangga melihat bagaimana MAG menjadi pemangkin dalam mempercepatkan pencapaian negara termasuk beberapa pencapaian terbaharu, antaranya menjadi syarikat penerbangan pertama menghantar kumpulan pertama vaksin Covid-19 ke Malaysia,” katanya sewaktu pelancaran buku meja kopi di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau berkata, penstrukturan semula yang dilakukan pada 2021 turut memberi peluang kepada MAG untuk membaiki kunci kira-kira secara holistik, malah menangani isu legasi berdekad lamanya, yang mengakibatkan pengurangan liabiliti melebihi RM15 bilion dan menghapuskan hutang berjumlah RM10 bilion.

Katanya, kos operasi yang lebih rendah juga menyumbang kepada peningkatan prestasi yang lebih baik pada tahun lalu.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan MAG, Tan Sri Wan Zulkifli Wan Ariffin pula berkata, sebagai salah satu industri penerbangan yang paling terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, pihaknya secara proaktif telah mengubah budaya organisasi dan prosedur kerja, bahkan meningkatkan pengalaman pelanggan melalui teknologi digital.

“Satu perkara yang paling menonjol adalah komitmen seluruh pasukan bagi memastikan bukan sahaja kelangsungan syarikat tetapi untuk kelestarian jangka masa panjang.

“Ini penting bagi memastikan Malaysia Airlines muncul lebih teguh dan cekap sewaktu wabak melanda negara dan menuntut semula kedudukannya sebagai syarikat penerbangan serantau terulung, sekali gus menjadi kebanggaan negara,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail pula berkata, sejak 85 tahun lalu, Malaysia Airlines telah beroperasi dalam beberapa keadaan yang tidak menguntungkan, namun terus kekal.

“Buku ini adalah pujian kepada syarikat penerbangan kami untuk terus membina dan mengekalkan sebagai sebuah negara bersatu.

“Setakat ini, Malaysia Airlines berjaya mengharungi beberapa keadaan terburuk industri.

“Kami berjaya mengurangkan kerugian bersih setahun penuh kami untuk 2021 sebanyak 60 peratus, malah mencapai EBITDA positif (pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan) sebanyak RM433 juta,” katanya.