Sila log masuk terlebih dahulu.

Kes tular murid Tahun 3 dipukul guru selesai cara baik: Polis

Video tular di laman sosial berhubung dakwaan anak mereka dipukul guru sebelum ini.
Video tular di laman sosial berhubung dakwaan anak mereka dipukul guru sebelum ini.
A
A
A

MELAKA - Ibu bapa murid Tahun Tiga yang videonya tular di laman sosial berhubung dakwaan anak mereka dipukul di muka ketika dalam kelas sepakat menyelesaikan perkara itu secara baik dengan guru berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner, Christopher Patit berkata, ibu bapa kanak-kanak itu sebelum ini membuat laporan polis pada 23 Jun lepas berikutan anak perempuan mereka yang bersekolah di sebuah sekolah kebangsaan di sini, didakwa dipukul di muka dengan buku latihan.

"Kejadian itu dipercayai berpunca daripada kegagalan murid tersebut menyediakan kelengkapan sekolah dan menjawab pertanyaan guru itu dengan nada suara yang tidak boleh diterima.

"Perkara itu telah ditularkan di beberapa platform media sosial milik ibu bapa tersebut sehingga mencetuskan perasaan tidak senang dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Christopher berkata, perkara itu juga membawa kepada satu laporan polis yang dibuat guru berkenaan pada hari yang sama demi keselamatan dirinya.

"Susulan daripada kejadian ini, sesi mesyuarat permuafakatan telah diadakan pada 27 Jun di sekolah terbabit dan 5 Julai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dengan penglibatan pentabiran sekolah dan wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

"Kedua-dua belah pihak telah menyelesaikan perkara ini dengan baik dan muafakat dalaman tanpa melibatkan tindakan undang-undang atas kepentingan bersama,” katanya.

Christopher berkata pihak terlibat juga telah diberi surat amaran serta nasihat sebagai pengajaran agar tidak mengulangi perbuatan tidak beretika dan menyalahi undang-undang, manakala orang ramai pula dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi serta memanipulasi kejadian itu. - Bernama.

Artikel Berkaitan: