Perkeso Perak bayar RM26 juta tuntutan faedah

Ahmad Saidi menyantuni Hasliza ketika kunjungan ke rumahnya menyampaikan bantuan alatan pemulihan Program Skuad Perkeso Prihatin pada Khamis.
Ahmad Saidi menyantuni Hasliza ketika kunjungan ke rumahnya menyampaikan bantuan alatan pemulihan Program Skuad Perkeso Prihatin pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak sudah membayar hampir RM26 juta bagi tuntutan pelbagai faedah termasuk kes Covid-19 kepada 15,778 pekerja bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, daripada jumlah itu, RM11.59 juta diperuntukkan untuk membiayai faedah hilang upaya sementara melibatkan 12,309 kes manakala RM9.57 juta untuk faedah hilang upaya kekal melibatkan 596 kes.

Menurutnya, bagi pencen Ilat, Perkeso telah membayar sejumlah RM1.35 juta kepada 485 pekerja dan RM1.01 juta bagi pencen Penakat kepada 553 pekerja.

"Dalam tempoh sama, Perkeso turut membiayai pencen faedah orang tanggungan sebanyak RM208,564 membabitkan 74 kes dan faedah pengurusan mayat berjumlah RM2 juta kepada 1,126 kes," katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan alatan pemulihan Program Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prihatin kepada orang berinsurans, Hasliza Abdul Karim di Persiaran Klebang Selatan 8, Taman Bertuah di sini pada Khamis.

Hasliza gembira menerima kunjungan Ahmad Saidi bersama Skuad Perkeso Prihatin pada Khamis.
Hasliza gembira menerima kunjungan Ahmad Saidi bersama Skuad Perkeso Prihatin pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Cawangan Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso Perak, Adibah Mohamed Amin.

Hasliza, 54, yang merupakan ibu tunggal menerima pencen Ilat sebanyak RM904.85 sebulan sejak Mei lalu bagi membiayai perubatan dan meneruskan kehidupannya bersama empat anak berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

Dia yang kehilangan kaki kiri akibat kencing manis dan pernah melakukan pembedahan pintasan jantung turut menerima sebuah kerusi roda daripada Perkeso bernilai RM1,770.

Hasliza berkata, disebabkan pelbagai penyakit yang dihidapi, dia terpaksa berhenti kerja sebagai operator di sebuah kilang di Jelapang sejak tahun lepas kerana sudah tidak mampu bekerja.

"Dengan adanya duit pencen ini dapatlah juga menampung perbelanjaan harian saya," katanya.