Pertandingan HIP English Storyfest Maxis dibuka sehingga 31 Ogos

Pertandingan tahunan popular Maxis, eKelas Highly Immersive Programme (HIP) English Storyfest Maxis masih dibuka untuk penyertaan sehingga 31 Ogos ini.
Pertandingan tahunan popular Maxis, eKelas Highly Immersive Programme (HIP) English Storyfest Maxis masih dibuka untuk penyertaan sehingga 31 Ogos ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertandingan tahunan popular Maxis, eKelas Highly Immersive Programme (HIP) English Storyfest Maxis masih dibuka untuk penyertaan sehingga 31 Ogos ini.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha berkata, pertandingan yang sudah memasuki tahun keempat itu bertujuan memperkayakan pembelajaran sambil memberi peluang untuk membina keyakinan dan kemahiran komunikasi pelajar.

Menurutnya, HIP diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 2016 untuk meningkatkan penguasaan dan pendedahan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar melalui aktiviti di dalam dan di luar bilik darjah.

“Sejak 2019, eKelas telah diiktiraf oleh KPM di bawah inisiatif HIP, di mana pelajar eKelas yang menyertai pertandingan itu boleh mengumpul markah kokurikulum yang disertakan dalam sijil persekolahan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, pertandingan eKelas HIP English StoryFest menyediakan pengalaman yang mendalam untuk membantu pelajar mempelajari bahasa Inggeris dengan cara yang menarik dan menyeronokkan serta melengkapkan akademik mereka di sekolah.

Menurut Mariam, pihaknya menerima lebih 3,500 penyertaan setakat ini.

“Kami akan terus membawa kandungan digital terbaik kepada pelajar terutama masyarakat luar bandar dan berharap lebih ramai pelajar menyertai pertandingan tahun ini,” katanya

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM, Dr Faizulizami Osmin turut mengalu-alukan inisiatif daripada Maxis eKelas untuk menyokong Program Imersif Tinggi Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, ia memberi pelajar platform yang berbeza di luar persekitaran sekolah untuk berlatih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, terutama apabila mereka boleh berinteraksi dengan pelajar dari sekolah lain.

“Saya menggalakkan para guru memotivasikan murid mereka untuk menyertai pertandingan dan mendapat manfaat daripada peluang pembelajaran tambahan yang disediakan,” katanya,

Faizulizami berkata, pelancaran pertandingan secara maya baru-baru ini telah dihadiri oleh lebih daripada 750 pemimpin, guru dan pegawai daerah di seluruh Malaysia.

Pertandingan eKelas HIP English StoryFest diperkenalkan pada tahun 2019, menawarkan pelajar pengalaman interaktif serta akses kepada bimbingan secara maya melalui kandungan, bengkel dan latihan untuk meningkatkan keyakinan terbuka untuk pelajar Tahun Empat hingga Tingkatan Lima.

Pendaftaran kini dibuka sehingga 31 Ogos melalui www.ekelas.com.my.