Kenaikan tarif air tingkat kualiti penyampaian kepada rakyat

Dr Xavier (dua, kanan) melawat Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sunggai Linggi Fasa 4 hari ini. Turut hadir Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Ir Rozman Mohamad (dua kiri) -Foto Bernama
Dr Xavier (dua, kanan) melawat Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sunggai Linggi Fasa 4 hari ini. Turut hadir Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Ir Rozman Mohamad (dua kiri) -Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kenaikan tarif air yang dirancang dilaksanakan di seluruh negara mampu meningkatkan penyampaian kualiti perkhidmatan bekalan air terawat kepada rakyat di seluruh negara.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A.Xavier Jayakumar berkata menerusi kenaikan itu, kerajaan akan mempunyai keupayaan kewangan lebih kukuh untuk berbelanja bagi kemudahan perkhidmatannya termasuk mengurangkan Air Tidak Terhasil (NRW).

Katanya menerusi pengurangan NRW, bekalan air akan dapat disalurkan ke kawasan yang tiada bekalan air dan kawasan yang mempunyai bekalan air bertekanan rendah.

"Untuk mengurangkan hanya satu peratus NRW, yang pada ketika ini berada pada tahap 35 peratus, kita perlu berbelanja sebanyak RM800 juta sehingga RM1 bilion,” katanya pada sidang media selepas meninjau Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Linggi Fasa 4, di sini.

Beliau turut menggesa syarikat-syarikat pembekal air di seluruh negara supaya tampil dan menyatakan tahap keberkesanan penyampaian perkhidmatan mereka kepada rakyat pada ketika ini bagi memastikan kenaikan tarif air yang dirancang itu mampu memberikan kesan positif. Beberapa media hari ini melaporkan Dr Xavier berharap perbincangan mengenai tarif air yang baharu dengan negeri-negeri dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan PLSB Sungai Linggi Fasa 4 bernilai RM62.834 juta yang dijadualkan siap pada April 2021 akan memberikan perlindungan kepada 3,600 penduduk di kawasan sekitar daripada bencana banjir.

Beliau juga berkata satu program kempen kesedaran penjimatan air di seluruh negara akan dilancarkan dalam masa terdekat dan beliau telah meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menyertakan pelajar sekolah di dalam program itu.

Menyentuh mengenai kempen PRK DUN Rantau yang sedang berlangsung ketika ini, beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata kepimpinan Pakatan Harapan sudah pun turun ke kawasan DUN berkenaan untuk berkempen. -Bernama

Artikel Berkaitan: