Sila log masuk terlebih dahulu.

Tukar nama MSC kepada Mastaf penuhi syarat Istaf

Suhaili (barisan depan, tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Mastaf yang pertama di Kuala Lumpur pada Khamis.
Suhaili (barisan depan, tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Mastaf yang pertama di Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

PENJENAMAAN semula Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) kepada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) adalah bagi memenuhi prasyarat yang diberikan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf).

Presiden Mastaf, Datuk Suhaili Abd Rahman berkata, prasyarat tersebut diberikan Istaf ketika mengiktiraf badan induk baharu sepak takraw negara itu sebagai ahli gabungan mereka berkuat kuasa April lepas.

Katanya, Istaf menetapkan pertukaran nama MSC kepada Mastaf mesti dilakukan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh diterima sebagai ahli gabungan.

"Ini adalah prasyarat mesti dibuat oleh MSC pada ketika itu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Mastaf yang pertama di Kuala Lumpur pada Khamis.

Suhaili berkata, pada AGM itu, mereka turut menerima dan mengesahkan segala pindaan yang dibuat ke atas perlembagaan terdahulu ketika masih di bawah nama MSC.

"Kita nampak banyak perkara dalam perlembagaan yang boleh ditambah baik dan semua ini telah dilakukan serta disemak PJS (Pesuruhjaya Sukan) dan alhamdulillah telah diluluskan.

"Hari ini kita ada perlembagaan yang sudah lengkap disemak, diteliti dan yang akan diguna pakai atas nama Mastaf," katanya sambil memaklumkan nama Mastaf turut diluluskan PJS pada 20 Jun lepas.

Sementara itu, beliau berkata, AGM pada Khamis turut menyaksikan tiga pelantikan baharu dibuat melibatkan jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang Datuk Ismail Abang Saufi; Setiausaha Agung, Dr Noor Azam Samsudin dan Bendahari, Mohammad Fairuz Mohd Radi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, antara perancangan diputuskan Mastaf pada Khamis adalah untuk menganjurkan pertandingan liga yang akan dimaklumkan secara terperinci kelak.

Sebagai rekod, Mastaf sah sebagai ahli baharu Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) pada 5 Mac lepas sebelum turut diterima menjadi ahli gabungan Istaf pada 4 April ekoran Astaf menggugurkan keahlian entiti terdahulu Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada Mei 2021. - Bernama