MASTAF beri 14 hari kepada ahli gabungan PSM

Suhaili
Suhaili
A
A
A

PERSEKUTUAN Sepaktakraw Malaysia (MASTAF) sekali lagi mempelawa persatuan negeri dan ahli bersekutu yang bernaung di bawah Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk beralih angin menyertai mereka.

Presidennya, Datuk Suhaili Abd Rahman berkata, MASTAF adalah badan induk sukan itu di negara ini yang diiktiraf oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) serta menjadi ahli gabungan kedua-duanya.

Malah katanya, kesemua persatuan dan ahli bersekutu di bawah PSM diberi tempoh 14 hari daripada hari ini untuk menyertai MASTAF.

"Sekiranya mereka tidak ambil serius mengenai jemputan ini maka kita akan tubuhkan persatuan penaja di negeri-negeri atas nama MASTAF, contohnya MASTAF Labuan, MASTAF Melaka dan MASTAF Pulau Pinang.

"Ini antara perkara yang diputuskan dan akan diperhalusi sebelum dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan MASTAF yang pertama di Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau berkata, peluang menyertai MASTAF, yang sebelum ini dikenali sebagai Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC), telah diberikan sejak awal penubuhan badan induk itu Februari lepas.

Namun Suhaili berkata, di sebalik bergabung dengan MSC ketika itu, mereka menimbulkan pelbagai hujah sehingga mempersoal tindakan Pesuruhjaya Sukan mengenai kelulusan penubuhan badan induk tersebut.

"Jadi itu adalah ruang yang agak luas kita telah bagi. Kalau tak terima maka kita akan tubuhkan (persatuan) kerana kita tak boleh biarkan persatuan takraw atau sepak takraw itu mati hanya kerana ada pertelagahan antara persatuan," katanya.

Baru-baru ini, Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (PESTAK) kembali menyertai PSM yang diterajui Datuk Mohd Sumali Reduan selepas membuat keputusan keluar daripada MASTAF bulan lepas.

Ia menyaksikan PSM kini mempunyai 15 perwakilan terdiri daripada 11 ahli gabungan dan empat ahli bersekutu manakala MASTAF memiliki hanya enam perwakilan iaitu lima ahli gabungan dan satu ahli bersekutu.

Sebagai rekod, penjenamaan semula MSC kepada MASTAF adalah bagi memenuhi prasyarat yang diberikan ISTAF ketika mengiktiraf mereka sebagai ahli gabungan berkuat kuasa April lepas. - Bernama