BNM, DOSM diminta jelaskan justifikasi kenaikan OPR

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

PUTRAJAYA - Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi meminta Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk memberi penjelasan berhubung justifikasi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada rakyat, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, rakyat perlu diberi kefahaman yang sewajarnya terhadap keputusan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus semalam.

Semalam Jawatankuasa Dasar Monetari BNM memutuskan untuk menaikkan OPR, yang menjadi penanda aras pinjaman dan tabungan, sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus. Ia kenaikan kedua berturut-turut tahun ini selepas OPR dinaikkan 25 mata asas kepada 2.00 peratus pada Mei lepas.

"Saya harap kita semua dapat memahami bahawasanya badan yang menentukan kadar faedah itu adalah satu badan yang bebas.

"Mereka mempunyai alasan-alasan, sebab tertentu, tapi mereka juga perlu membuat penjelasan agar orang ramai dapat memahami justifikasi kenapa tindakan tertentu diambil oleh BNM," kata Annuar dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Jihad Tangani Inflasi, di sini hari ini. -Bernama