Pasca Banjir: 2,613 rumah baik pulih, 97 bina baharu di bawah KPLB

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

JEMPOL - Sebanyak 809 daripada 2,613 unit rumah telah dibaik pulih manakala 10 daripada 97 unit telah siap dibina baharu di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia setakat 17 Jun lepas.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia membabitkan tujuh negeri yang terkesan akibat banjir termasuk di Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan kos keseluruhan hampir RM44.7 juta.

"Ada kes-kes tidak jadi rumah lagi sebab ada masalah tanah contohnya tapak (rumah) itu tepi sungai (rezab sungai),jadi yang itu kita kena pindahkan. Kita kolaborasi dengan kerajaan negeri.

"Mungkin kat situ ada lambat sikit untuk pembinaan rumah dan ada yang masih menunggu kelulusan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Wacana Ilmu, Wanita Inspirasiku (WINS), anjuran Kemas Negeri Sembilan di sini pada Khamis.

Mahdzir (dua,kiri) ketika meninjau beberapa booth sekitar program berkenaan.
Mahdzir (dua,kiri) ketika meninjau beberapa booth sekitar program berkenaan.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Pengarah Kemas Negeri Sembilan, Zulkefli Ahmad Nazri.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi membina semula dan membaik pulih rumah yang terkesan akibat banjir di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) masing-masing diperuntukkan RM50 juta bagi usaha tersebut di mana kos sebanyak RM5,000 sehingga RM15,000 diperuntukkan bagi baik pulih rumah dan RM56,000 (kos bina baharu).

Sementara itu dalam perkembangan berlainan berhubung naik taraf fasiliti Tabika Kemas seluruh negara Mahdzir menjelaskan sebanyak RM9.5 juta peruntukkan disalurkan bagi tujuan tersebut.

"Kemas mengenal pasti Tabika yang uzur dan ia membabitkan Tabika Kemas kategori C iaitu yang memerlukan baik pulih bilik air, lantai, dan lain-lain lagi," katanya.