Pemilihan PKR: Majlis Pimpinan Pusat terima keputusan rasmi JPP

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk menerima keputusan rasmi Pemilihan Keadilan 2022 yang telah diumumkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti itu, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, MPP sebelum ini telah meneliti laporan JPP berkaitan pembekal perkhidmatan yang membangunkan aplikasi ADIL serta firma audit forensik yang dilantik jawatankuasa itu, dan perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat khas malam tadi.

Katanya, MPP menerima penjelasan penuh firma audit forensik bahawa langkah-langkah bersesuaian untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan berkenaan telah diambil, yang memperakui wujud beberapa kelemahan pada peringkat pelaksanaan sistem berkenaan.

"Oleh yang demikian, MPP dengan ini menerima keputusan rasmi Pemilihan Keadilan 2022 yang telah diumum JPP," katanya.

Beliau berkata, MPP mengambil maklum sebahagian daripada 1,800 aduan yang diterima masih dalam penelitian JPP serta menerima jaminan jawatankuasa itu akan menyelesaikan masalah berkenaan, selain memberi maklum balas bertulis kepada semua yang mengemukakan aduan.

"MPP turut diberi taklimat penuh oleh firma audit forensik berhubung dapatan audit lengkap bagi Pemilihan Keadilan 2022. Berdasarkan perbincangan dan pembentangan penuh malam tadi, MPP mengambil maklum bahawa sistem ADIL yang dibangunkan adalah suatu sistem dengan integriti yang utuh," katanya.

Sementara itu Fahmi berkata Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 17 Julai ini akan diteruskan di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor. - Bernama