Sila log masuk terlebih dahulu.

KPM hormati pembatalan keputusan Sejarah 15 calon SPM

Radzi ketika berucap pada Majlis 'Digital Utilisation and Technology Awards' (DUTA) 2021 di Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Bukit Kiara hari ini. - Foto Bernama
Radzi ketika berucap pada Majlis 'Digital Utilisation and Technology Awards' (DUTA) 2021 di Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Bukit Kiara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan menghormati segala keputusan dan prokotol yang telah dipatuhi oleh Lembaga Peperiksaan (LP) berhubung tindakan badan itu membatalkan keputusan subjek Sejarah bagi 15 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, LP adalah lembaga bebas dan selagi ia mematuhi protokol yang ditetapkan, segala keputusan yang dibuat harus dihormati.

"Sekiranya perkara-perkara itu (pembatalan keputusan) telah memenuhi protokol dan peraturan yang ditetapkan LP maka di pihak KPM, kita menghormati keputusan itu.

"LP adalah badan bebas, kalau menteri masuk campur akan cetuskan senario kelam-kabut dalam konteks pelaksanaan peperiksaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Anugerah Penggunaan Digital dan Teknologi (DUTA) 2021 di Bukit Kiara hari ini.

Tular hantaran di Facebook hari ini mengenai surat keputusan LP yang mengekalkan status pembatalan keputusan kertas Sejarah 2 SPM 2021 bagi 15 pelajar sebuah sekolah di Putrajaya.

Menurut hantaran itu, pembatalan keputusan peperiksaan bagi subjek tersebut didakwa adalah berikutan pelajar terbabit yang terbawa masuk telefon bimbit ke dalam dewan peperiksaan.

Sementara itu, mengenai isu sebuah sekolah di Sungai Besi yang menjemput seorang pempengaruh media sosial sebagai penceramah motivasi, Radzi berkata KPM akan meneliti isu tersebut sebelum sebarang ulasan atau tindakan lanjut.

"Saya akan melihat apakah konteks jemputan tersebut... saya masih belum menerima maklumat mendalam mengenai perkara ini.

Artikel Berkaitan:

"KPM tidak dimaklumkan tentang jemputan tersebut, biasanya sekolah akan menjemput penceramah untuk berbincang perkara yang ingin disentuh," katanya. - Bernama