Naib Presiden Afghanistan terselamat cubaan bunuh kali kedua

Naib Presiden Afghanistan Abdul Rashid Dostum terselamat daripada cubaan bunuh kali kedua. - Foto BBC
Naib Presiden Afghanistan Abdul Rashid Dostum terselamat daripada cubaan bunuh kali kedua. - Foto BBC
A
A
A

BALKH - AFGHANISTAN. Naib Presiden Afghanistan Abdul Rashid Dostum dilapor terselamat daripada cubaan bunuh susulan serangan yang meragut nyawa salah seorang pengawal peribadi beliau.

Pihak berkuasa berkata, militan Taliban mengaku melakukan serangan hendap terhadap konvoi Dostum di wilayah Balkh yang turut mencederakan dua lagi pengawalnya.

Ia merupakan cubaan bunuh kedua yang diterima Dostum sejak pemimpin etnik Uzbek dan jeneral perang itu kembali ke Afghanistan pada Julai lalu setelah melarikan diri ke Turki ekoran dakwaan mengarahkan penculikan dan pemerkosaan seorang musuh politik.

Beliau menafikan tuduhan itu dan menegaskan pemergian ke Turki adalah bertujan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Dalam cubaan bunuh terdahulu, 14 orang maut susulan pengeboman bunuh diri di Lapangan Terbang Kabul sejurus ketibaan Dostum di lokasi berkenaan.

Dikenali sebagai tokoh politik kontroversi, Dostum menyertai kerajaan Afghanistan pada 2014 dan dipercayai turut membantu Amerika Syarikat menyingkirkan Taliban pada 2001 namun beliau turut dipersalahkan untuk beberapa siri kekejaman di negara yang dilanda perang saudara itu. - BBC

Artikel Berkaitan: