265 pasukan PLUSRonda ditugaskan sepanjang Aidiladha

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan 265 pasukan PLUSRonda akan ditugaskan ketika tempoh perayaan Aidiladha bagi meningkatkan rondaan terutamanya di lokasi kritikal sepanjang lebuh raya.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya turut bersedia mengaktifkan laluan kontra dan membuka lorong kecemasan di laluan tertentu sebagai laluan tambahan dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya mematuhi arahan yang diberikan menerusi papan tanda di lokasi laluan kontra dan pembukaan lorong kecemasan.

"Di samping itu, PLUS juga akan menghentikan semua kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan penutupan laluan di lebuh raya bermula 8 Julai hingga 12 Julai untuk mengelakkan kesesakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, PLUS akan meneruskan kolaborasi bersama agensi penguatkuasaan dan kecemasan seperti PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Rela dan ambulans.

Katanya, semasa PDRM dan JPJ mengadakan rondaan dan penguatkuasaan undang-undang di lebuh raya, pasukan bantuan kecemasan antaranya JBPM dan ambulans akan diletakkan dalam keadaan bersedia di plaza tol strategik dan ditugaskan ke lokasi insiden apabila diperlukan.

Menurut PLUS, kemudahan awam seperti surau dan tandas di kawasan rehat dan rawat (R&R) dibuka untuk pengguna 24 jam sehari dengan kemudahan berkenaan turut disediakan di plaza tol.

Pengguna lebuh raya digalakkan memuat turun aplikasi PLUS bagi membolehkan mereka merancang perjalanan, melihat sendiri paparan kamera litar tertutup (CCTV) keadaan trafik di lokasi kritikal dan menggunakan kalkulator tol.

Katanya, aplikasi PLUS boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store dan Apple App Store selain aplikasi seperti Waze dan Google Maps juga membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan. - Bernama