Sila log masuk terlebih dahulu.

31 individu termasuk Saarani gagal cabar notis kompaun SPRM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiga puluh satu individu termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad gagal dalam percubaan mereka untuk mencabar notis kompaun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiga tahun lepas berhubung dakwaan menerima wang yang berasal daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 27 Februari 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kesemua individu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman mencabar notis kompaun SPRM dan Mahkamah Rayuan juga menolak rayuan mereka pada 15 Oktober tahun lepas.

Kesemua 31 individu mewakili UMNO dan bahagian-bahagian Barisan Nasional yang dikeluarkan notis kompaun oleh SPRM termasuk Saarani, yang mewakili badan perhubungan UMNO Perak, Tan Sri Shahrir Samad (UMNO Bahagian Johor Bahru) serta Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Pulai).

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang mendengar permohonan itu berkata, tiada isu baharu yang dibangkitkan untuk diputuskan oleh mahkamah.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, yang mewakili SPRM memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya tidak meminta kos daripada individu terbabit dan Hasnah juga tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos.

Dalam permohonan itu, kesemua 31 individu meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa kompaun SPRM yang dikeluarkan pada 7 Oktober 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Mereka turut memohon perintah untuk membatalkan notis kompaun itu dan injunksi bagi menghalang SPRM menguatkuasakan kompaun terbabit atau meneruskan tindakan pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Pada prosiding hari ini yang berlangsung secara dalam talian, peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili kesemua individu meminta kebenaran untuk merayu bagi membolehkan mahkamah memutuskan lapan persoalan undang-undang.

Beliau berhujah, pengeluaran notis kompaun itu adalah satu keputusan pentadbiran oleh SPRM yang boleh disiasat oleh mahkamah melalui semakan kehakiman.

Bagaimanapun, Ahmad Hanir berhujah bahawa keputusan yang ingin dicabar bersifat akademik memandangkan tempoh untuk menerima atau menolak tawaran kompaun itu sudah luput tarikhnya kerana mereka mempunyai selama 14 hari untuk berbuat demikian.

Beliau juga berkata, individu terbabit, melalui firma guaman Sharul Fazli, telah memaklumkan secara bertulis bahawa mereka tidak menerima tawaran kompaun itu. - Bernama