Lapan dicekup terlibat aktiviti proses, bungkus dadah

Antara dadah yang dirampas dalam serbuan di sekitar ibu kota pada Rabu.
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan di sekitar ibu kota pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai lapan individu termasuk dua wanita ditahan secara berasingan di sekitar ibu kota kerana disyaki terlibat dalam aktiviti memproses dan membungkus dadah pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bersama peralatan dan bahan memproses dadah yang dianggarkan bernilai RM191,693.

"Serbuan pertama, kita menahan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah kondominium di Jalan Law Yew Swee off Jalan P Ramlee pada jam 7 pagi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Noor Dellhan berkata, hasil soal siasat, pihaknya melancarkan empat serbuan berasingan di sekitar Dang Wangi dan telah menahan enam individu termasuk seorang wanita.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah iaitu methamphetamine (796 gram), methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) (382 gram), serbuk MDMA (353 gram), cecair methamphetamine, ketamin (211.62 gram) dan cecair MDMA.

Beliau berkata, kesemua individu berusia 20 hingga 40 tahun dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan memproses dan membungkus dadah untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

"Sindiket ini juga dipercayai mula bergiat aktif sejak setahun yang lalu," ujarnya.

Menurutnya, saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas semua suspek mendapati empat suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

"Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.