Kejuaraan AFF B-19: Malaysia, Singapura buntu di Jakarta

Antara aksi menarik Malaysia menentang Singapura dalam perlawanan Kumpulan B Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Stadium Madya, Senayan, Jakarta pada Khamis. Foto: Football Association of Malaysia
Antara aksi menarik Malaysia menentang Singapura dalam perlawanan Kumpulan B Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Stadium Madya, Senayan, Jakarta pada Khamis. Foto: Football Association of Malaysia
A
A
A

[DIKEMASKINI] HASRAT Malaysia untuk melebarkan rentak kemenangan dalam kempen Kejuaraan B-19 AFF 2022 tidak kesampaian apabila terikat tanpa jaringan ketika berdepan Singapura dalam aksi Kumpulan B di Stadium Madya, Senayan, Jakarta.

Anak buah Hassan Sazali Waras yang tampil dengan semangat kemenangan 2-1 ke atas Kemboja dalam perlawanan terdahulu ternyata menguasai rentak perlawanan berdepan Singapura yang menduduki tangga tercorot kumpulan selepas tewas dua perlawanan sebelum ini - Kemboja (0-1), Timor-Leste (0-1).

Peluang terbaik skuad negara hadir menerusi Muhd Haikal Sahar pada minit ke-16, namun dinafikan ketangkasan penjaga gol Singapura, Firman Nabil Mohd Faizal. Anak didik Hassan Sazali sekali lagi memiliki peluang merobek gawang Singapura pada penghujung perlawanan, namun sekali lagi penyudah Ahmad Aysar Hadi Shapri tersasar.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Hassan Sazali Waras mengumpul empat mata selepas mengharungi dua perlawanan Kumpulan B akan meneruskan cabaran seterusnya berdepan Timor Leste pada Sabtu ini.

Sementara itu, Hassan Sazali menyifatkan kejayaan meraih satu mata tersebut merupakan keputusan yang baik walaupun anak buahnya gagal melebarkan rentak kemenangan dalam perlawanan berkenaan.

Malah jelas Hassan, peluang pasukan negara juga berada di landasan terbaik apabila masih lagi mengekalkan rekod tanpa kalah peringkat kumpulan selepas mengharungi dua perlawanan.

“Singapura lebih tersusun terutamanya pada bahagian pertahanan sehingga menyukarkan jentera serangan menjaringkan gol.

"Malah pertahanan Singapura juga tidak memberi ruang terlalu besar kepada para pemain negara ketika mengasak kubu lawan walaupun kita meningkat serangan babak kedua,” katanya.