[VIDEO] 627 laporan polis akibat banjir, kepala air

Wan Hassan (kiri) dan Shamsudin ketika ditemui media selepas taklimat berkaitan situasi semasa pasca banjir di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di Baling pada Khamis.
Wan Hassan (kiri) dan Shamsudin ketika ditemui media selepas taklimat berkaitan situasi semasa pasca banjir di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di Baling pada Khamis.
A
A
A

BALING - Sebanyak 627 laporan polis diterima berhubung kerosakan premis di kawasan banjir dan kepala air di Baling sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, setakat ini 15 rumah dilaporkan musnah termasuk dihanyutkan arus deras dalam kejadian tersebut.

Menurutnya, laporan polis diterima dari empat kaunter di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai, Kupang yang dibuka susulan bencana banjir dan kepala air.

"Kita terima 627 laporan berhubung kerosakan premis akibat bencana di Baling," katanya kepada media selepas mendengar taklimat berkaitan situasi semasa pasca banjir di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di sini pada Khamis.

Taklimat disampaikan Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Sementara itu, Wan Hassan turut memohon agar agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), korporat dan orang perseorangan yang ingin menyalurkan bantuan agar berdaftar terlebih dahulu.

"Nasihat saya kepada mereka yang nak memberi bantuan agar berdaftar dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) agar diselaraskan dengan teratur dan tersusun rapi," katanya.

Jelas Wan Hassan, setakat ini, tiada mana-mana individu atau kumpulan yang dikenal pasti ingkar dengan memasuki kawasan bencana tanpa kebenaran.

Jika ingkar katanya, tindakan boleh dikenakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan polis memberi amaran kepada individu yang memasuki kawasan bencana tanpa tujuan munasabah dan mereka boleh dikenakan tindakan.