MAFI mahu rakyat B40 terlibat industri sarang burung walet

Ronald Kiandee. - Foto Bernama.
Ronald Kiandee. - Foto Bernama.
A
A
A

TELUPID - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mahu lebih ramai rakyat daripada kumpulan B40 terlibat dalam industri sarang burung walet yang merupakan industri berpotensi besar untuk menyumbang kepada ekonomi negara serta masyarakat setempat.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sehubungan itu lebih banyak kerjasama strategik antara jabatan dan agensi kerajaan dengan syarikat swasta melibatkan komuniti B40 perlu dilaksanakan bagi merealisasi hasrat itu.

Ahli Parlimen Beluran itu tidak menafikan industri sarang burung walet di luar bandar telah dilaksanakan malah kawasan Parlimen Beluran merupakan antara pengeluar sarang burung yang besar, namun ia belum dimanfaatkan sepenuhnya kumpulan B40 di luar bandar.

"Saya harap kerjasama strategik ini dalam perusahaan sarang burung walet diperluaskan dan dimanfaatkan komuniti kerana industri ini mampu meningkatkan ekonomi masyarakat khususnya B40," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Burung Walet Komuniti B40 Sandakan di Kampung Lumou di sini pada Khamis.

Seramai 20 peserta terpilih menyertai Program Rumah Burung Walet Komuniti B40 Sandakan itu, yang merupakan projek perintis Syarikat Beho Birdnest Sdn Bhd sebagai peneraju dalam membantu meningkatkan pendapatan golongan B40 di Sabah.

Ronald berkata, sehingga tahun lepas 13,635 premis rumah burung walet seluruh negara telah berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, yang 3,413 adalah di Sabah, sementara 2,143 rumah burung walet telah mendapat persijilan amalan pertanian baik Malaysia (MyGAP) iaitu 373 adalah di Sabah.

"Nilai eksportnya (industri sarang burung walet) 5,905 tan metrik dengan nilai RM1.8 bilion bagi tahun lepas kenaikan sebanyak RM400 juta berbanding tahun sebelumnya dengan nilai RM1.385 bilion.

"MAFI membuat pemantauan dan menentukan mereka (peserta program) ini mematuhi piawaian antarabangsa agar kualiti sarang burung dan juga proses pengeluaran sarang burung daripada kerjasama strategik ini boleh diangkat dan dieksport ke luar negara," katanya.- Bernama