KPDNHEP Kelantan serbu kilang minyak masak bersubsidi

Pegawai KPDNHEP melakukan pemeriksaan di kilang pembungkusan minyak masak subsidi di sekitar negeri ini dalam usaha mengekang penyelewengan bahan mentah itu.
Pegawai KPDNHEP melakukan pemeriksaan di kilang pembungkusan minyak masak subsidi di sekitar negeri ini dalam usaha mengekang penyelewengan bahan mentah itu.
A
A
A

GUA MUSANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu semua kilang pembungkusan minyak masak subsidi di negeri ini dalam usaha mengekang penyelewengan bahan mentah itu.

Berdasarkan hantaran di Facebook KPDNHEP Kelantan, beberapa cawangan di negeri ini dilihat 'ligat' menjalankan pemeriksaan pengauditan pemutihan di Pasir Mas, Kota Bharu, Machang, Gua Musang dan Tumpat.

Seterusnya penjejakan di peringkat rantaian bahan mentah itu bermula dari pembungkus, pemborong dan peruncit minyak masak sedang dilaksanakan bagi memastikan tidak berlaku ketirisan.

Hasilnya dua notis arahan dikeluarkan kepada kilang pembungkusan minyak masak bersubsidi di Gua Musang.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Gua Musang, Mohd Koma Shapii berkata, notis berkenaan dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap pengilang terbabit dan ia bagi mendapatkan maklumat rantaian belian dan pengedaran minyak masak.

Beliau berkata, kedua-dua kilang tersebut gagal menyelenggara buku stok barang kawalan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Notis itu sudah diserahkan bagi penjelasan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.

"Kita akan terus menjalankan pemeriksaan di semua peringkat bagi mengelak berlaku ketirisan membabitkan bekalan ini," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Khamis.

Mohd Koma berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dan KPDNHEP memberi jaminan bekalan bahan mentah itu mencukupi.