Op Lancar tumpu kelancaran trafik sempena Aidiladha

PDRM akan memastikan aliran trafik kekal lancar sepanjang perayaan Aidiladha menerusi Op Lancar yang akan dijalankan selama empat hari bermula Jumaat. - Foto fail Bernama
PDRM akan memastikan aliran trafik kekal lancar sepanjang perayaan Aidiladha menerusi Op Lancar yang akan dijalankan selama empat hari bermula Jumaat. - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan aliran trafik kekal lancar sepanjang perayaan Aidiladha menerusi Op Lancar yang akan dijalankan selama empat hari bermula Jumaat.

Setiausaha PDRM Bukit Aman, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengenal pasti lokasi-lokasi 'hotspot' yang dijangka berlaku kesesakan lalu lintas berikutan pergerakan orang ramai menjelang cuti perayaan tersebut.

"JSPT telah mengenal pasti hotspot yang dijangka sesak dan akan mengaturkan seluruh kekuatan petugas di lapangan termasuk melibatkan elemen keanggotaan balai, kereta peronda (MPV) serta unit rondaan bermotosikal (URB).

"Kesemua unit akan diaturkan secara sistematik bagi memastikan aliran trafik di lebuh raya, jalan negeri dan bandaran bergerak lancar serta terkawal," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Noorsiah berkata, rondaan cegah kemalangan dan 'omnipresent' anggota polis akan dijalankan termasuk penggunaan dron oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi mengesan pemandu yang menyalahgunakan lorong kecemasan.

Pada masa sama, beliau turut menggesa pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan menjadi pemandu berhemah untuk mengelak sebarang kecelakaan.

"Pengguna disaran merancang perjalanan dan peka informasi aliran trafik semasa.

"Laksanakan peranan sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan patuhi peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, salah guna lorong kecemasan atau memarkir hingga menghalang laluan," ujarnya.