Sila log masuk terlebih dahulu.

Musim terbesar ibadah haji pasca pandemik bermula secara rasmi

Musim ibadah haji tahun 1443 Hijrah telah bermula secara rasmi pada Rabu selepas dua tahun dihentikan akibat penularan Covid-19. - Foto 123rf
Musim ibadah haji tahun 1443 Hijrah telah bermula secara rasmi pada Rabu selepas dua tahun dihentikan akibat penularan Covid-19. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Musim ibadah haji tahun 1443 Hijrah telah bermula secara rasmi pada Rabu selepas dua tahun dihentikan akibat penularan Covid-19, menyaksikan ratusan ribu jemaah haji mula melakukan 'Tawaf Qudum' mengelilingi Kaabah sebelum ke Mina.

Segala persiapan telah dijalankan pelbagai pihak untuk menyambut ketibaan jemaah haji di Mina sejak semalam mengikut sistem operasi keselamatan yang ditetapkan Arab Saudi demi memberi perkhidmatan terbaik bagi tetamu ALLAH SWT.

Menurut laporan Agensi Berita Arab Saudi (SPA), Kementerian Haji dan Umrah telah membuat perancangan operasi bagi musim haji tahun ini sejak tahun lalu dan bekerjasama dengan pelbagai sektor dalam menyediakan perkhidmatan bagi jemaah, antaranya meletakkan pelan lalu lintas dan kekerapan pengangkutan.

Kementerian itu juga menyediakan, perkhidmatan perubatan dan rawatan kepada jemaah haji melalui empat hospital dan 26 pusat kesihatan di Mina, antaranya hospital kecemasan berkapasiti 190 katil, Hospital Mina Al Jaser sebanyak 150 katil, Hospital Mina Al-Wadi (160 katil), dan Hospital Mina New Street (50 katil), dan juga perkhidmatan pengangkutan ambulan sebanyak 100 buah ambulan kecil dan 75 buah ambulan besar.

Sektor kesihatan juga membantu 97 pusat ambulans milik Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah Saudi dengan menyediakan 320 buah ambulan, enam ambulans udara, sembilan motosikal, dan empat kereta golf, termasuk empat kenderaan membawa bekalan perubatan dan 16 kenderaan kecemasan yang akan dikendalikan oleh 1288 kakitangan perubatan.

Pada masa sama, Kepimpinan Pasukan Keselamatan Haji mengumumkan, kesediaan mereka dalam menjamin keselamatan jemaah haji tahun ini, agar dapat menunaikan ibadah haji dalam keadaan selamat,selesa dan aman.

Di sepanjang laluan ke Mina, Syarikat Air Negara Saudi turut menyediakan stor penyimpanan operasi dan strategik untuk mengepam 2.4 juta meter padu air melalui rangkaiannya, manakala Syarikat Elektrik Saudi mengukuhkan perkhidmatannya di Mekah dan Masyair dengan melaksanakan 46 projek baharu.

Persatuan Pengakap Arab Saudi juga menempatkan, seramai 2,200 pengakap untuk membantu jemaah haji di kawasan Mina, melalui program perkhidmatan pengakap di kem Mina Al Jabal, Mina Mash'ar, Mina Al Wadi, Mina Al Jadeed, dan Al Jamrat.

Artikel Berkaitan:

Musim haji tahun ini melibatkan sejuta jemaah jauh lebih besar berbanding dua musim sebelum ini iaitu pada 2020 dan 2021.

Sehingga 2019, kira-kira 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia telah melaksanakan ibadah haji namun, wabak Covid-19 telah memaksa pihak berkuasa Saudi untuk mengurangkan jumlah jemaah haji, iaitu sebanyak 60,000 rakyat dan penduduk di Arab Saudi pada 2021, berbanding beberapa ribu sahaja pada 2020.

Para jemaah haji akan mula bergerak ke Mina pada Khamis, kira-kira lima kilometer dari Masjidil Haram, sehari sebelum ibadah wukuf di Arafah.

Pihak berkuasa Arab Saudi sebelum ini telah mengehadkan ibadah haji itu tahun ini kepada umat Islam di bawah umur 65 tahun dan telah divaksinasi, selain memenuhi syarat-syarat kesihatan yang ditetapkan. - Bernama