Ibu tunggal koma, lelaki direman bantu siasatan cubaan bunuh

Muhamad Zaki (tengah) semasa sidang media selepas merasmikan Kursus Tempur Jarak Dekat Siri 1/2022 Kontinjen Kelantan di Lapang Sasar Bukit Pak Junuh di Pasir Mas pada Khamis.
Muhamad Zaki (tengah) semasa sidang media selepas merasmikan Kursus Tempur Jarak Dekat Siri 1/2022 Kontinjen Kelantan di Lapang Sasar Bukit Pak Junuh di Pasir Mas pada Khamis.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang buruh binaan direman untuk membantu siasatan kes cubaan bunuh selepas dipercayai mengakibatkan seorang ibu tunggal berusia 35 tahun koma akibat kemalangan di Kampung Panggong, Pasir Puteh pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, lelaki terbabit yang menunggang motosikal dikatakan mengejar motosikal ditunggang mangsa yang juga didakwa kenalannya dan berlaku tolak-menolak sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dari kenderaannya.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh pada jam 12.40 tengah hari memaklumkan tentang seorang pesakit mengalami kecederaan akibat kemalangan.

"Mangsa mengalami pendarahan di kepala dikatakan akibat terjatuh dari motosikal.

"Sebaik sahaja mendapat maklumat, pihak kami telah menahan seorang lelaki berusia 33 tahun bekerja sebagai buruh binaan untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Tempur Jarak Dekat (C.Q.B) Siri 1/2022 Kontinjen Kelantan di Lapang Sasar Bukit Pak Junuh di sini pada Khamis.

Menurutnya, semasa penahanan dibuat, suspek didapati positif dadah dan direman sehingga Jumaat.

Beliau berkata, tempoh tahanan reman akan dilanjutkan dan kes disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.