14 termasuk adik Nicky Liow dibebaskan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan, Nicky Liow Soon Hee dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis di atas pertuduhan terlibat dalam kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky', lima tahun lalu.

Tiga panel hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersidang bersama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah, membuat keputusan sebulat suara, selepas dimaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima serta mempertimbangkan representasi 14 individu itu selaku perayu.

"Ini adalah keputusan sebulat suara, perintah Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan diketepikan, semua perayu dilepas dan dibebaskan," katanya.

Dalam kes ini, 13 perayu diwakili peguam Datuk Rajpal Singh manakala seorang lagi oleh peguam, Jasmine Cheong.

Ketika prosiding, Rajpal Singh memaklumkan bahawa AGC telah menerima representasi untuk melepas dan membebaskan anak guamnya daripada pertuduhan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar selaku responden kemudiannya mengesahkan representasi yang telah diterima AGC itu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Rajpal Singh berkata, representasi dihantar pada 29 Jun lalu dan AGC tidak berniat untuk meneruskan serta tidak membantah terhadap rayuan yang dikemukakan.

Pada 30 September 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas tanpa membebaskan 14 individu termasuk empat warganegara China serta dua adik kepada ahli perniagaan yang masih diburu, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee daripada tuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai ‘Geng Nicky’.

Dua tertuduh yang merupakan adik Nicky adalah Datuk Liow Wei Kin dan Liow Wei Loon manakala tertuduh lain ialah Lee Han Keat, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Weng, Eee Eng Chee, Dr Jovian Joris Tan Chern Chian, Datuk Loo Siew Chin, Lim Kang Li, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming serta empat warga China Huang Lei, Wang Yu Jun, Gu Xing Qiong serta Jiang Xue yang berusia awal 20-an hingga 56 tahun.

Pada 9 April 2021, seramai 13 individu didakwa menjadi ahli kumpulan terancang itu di kawasan Setiawalk, Persiaran Wawasan Pusat Bandar Puchong di sini antara 1 Januari 2017 dan 20 Mac 2021.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Subseksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi Kim Ming yang didakwa membantu kumpulan terancang itu di lokasi dan tarikh sama, didakwa mengikut Subseksyen 130W Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak sampai 10 tahun jika sabit kesalahan.