'Silat Malaysia' cipta sejarah di bumi Turkiye

13 orang ahli PSSSM mempersembahkan Silat Malaysia sempena Beyoglu International Culinary Festival pada 15 Jun sehingga 19 Jun lalu di Bumi Turkiye.
13 orang ahli PSSSM mempersembahkan Silat Malaysia sempena Beyoglu International Culinary Festival pada 15 Jun sehingga 19 Jun lalu di Bumi Turkiye.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia (PSSSM) telah melakar sejarah apabila 13 orang ahlinya telah menghadiri dan mempamerkan Silat Malaysia sempena Beyoglu International Culinary Festival pada 15 Jun sehingga 19h Jun lalu di Turkiye.

Penglibatan julung kali di luar negara itu juga merupakan satu kejayaan berganda apabila telah diminta untuk menubuhkan PSSSM cawangan Turkiye.

PSSSM dalam satu kenyataan berkata, penglibatan mereka pada festival berkenaan adalah bagi memenuhi jemputan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia Istanbul.

“Festival ini telah mendapat sokongan dan kerjasama yang erat daripada Konsul Jeneral Malaysia Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir dan jawatankuasa PSSSM yang diketuai Guru Pemegang Amanah, Dr Jamaluddin A Jalal dan Presiden Major (B) Wan Mazlan Wan Salim.

“Ini merupakan satu kejayaan yang besar kepada PSSSM bagi memperkenalkan dan mempromosi seni budaya dan seni bela diri Silat Malaysia di mata dunia.

“Lebih-lebih lagi dengan adanya penglibatan beberapa buah negara lain seperti Albania, Azerbaijan, Belarus, India, Indonesia, Itali, Kuwait, Lebanon, Libya, Malaysia, Mexico, Morocco, Rusia dan Tajikstan di festival tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, PSSSM berkata, pihaknya kini sedang menyusun atur proses dan struktur pembelajaran serta urusan penghantaran Jurulatih Bertauliah ke bumi Turkiye.

“Ini bertujuan bagi melatih pelajar-pelajar Malaysia, tempatan dan antarabangsa yang berminat untuk bergiat di dalam bela diri silat,” kata kenyataan itu.