Kilang sorok minyak masak peket diserbu

KPDNHEP merampas minyak masak peket yang disorok sebuah kilang proses makanan di Seremban.
KPDNHEP merampas minyak masak peket yang disorok sebuah kilang proses makanan di Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah kilang memproses makanan di Sikamat diserbu Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan pada Khamis selepas disyaki menyorok minyak masak peket bersubsidi.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd Muis Shamsudin berkata, pemeriksaan di premis berkenaan menerusi Ops ATM dan Ops Anti Sorok menemui 612 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi.

"Anggota penguat kuasa kami menjalankan pemeriksaan di sebuah kilang memproses makanan di Sikamat dan menemui sebanyak 612kg minyak masak peket bersubsidi (1kg) serta 5 tong minyak masak (17kg) di dalam premis berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis tidak mempunyai sebarang kebenaran untuk menyimpan minyak masak di premisnya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, premis itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kesemua minyak disita untuk tujuan siasatan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,625," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya akan terus menjalan operasi seumpama itu bertujuan membanteras dan menggempur aktiviti menyorok barang kawalan dan memastikan keberadaan bekalan terutama barang makanan negara sentiasa mencukupi serta mudah diperoleh pengguna pada harga berpatutan.

"Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga diminta menyalurkan aduan yang lengkap kepada KPDNHEP melalui saluran WhatsApp 019-2794317 atau 019-848 8000," katanya.