DBKL kaji cadangan KLFA berkaitan Stadium KL

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengkaji semula rasional pemberian hak pengurusan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras kepada sebuah syarikat swasta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, pihaknya juga perlu melihat justifikasi cadangan daripada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) supaya pengurusan stadium itu diserahkan kembali kepada persatuan berkenaan.

"Kena kaji balik apakah rasional yang dibuat ketika menyerahkan stadium ini, sama ada syarikat itu masih 'continue' mempunyai rasionalnya atau perlu dilihat semula, dan tengok macam mana. Keputusan yang kita nak buat adalah untuk memudahkan dan memberikan keuntungan kepada semua pihak.

"Yang penting sekali, setiap perkara dilaksanakan mestilah menjamin kemampanan bandar raya serta memberikan faedah kepada warga kota,” katanya selepas majlis penyerahan tajaan KL Car Free Morning di sini, pada Khamis.

Pada Rabu, Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad mendakwa, sebuah syarikat swasta yang mengambil alih pengurusan stadium secara pajakan tidak mampu menangani pelbagai masalah penyelenggaraan berkaitan padang dan aspek pencahayaan, terutamanya ketika saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bulan lepas.

Beliau berkata, jika diamanahkan menguruskan stadium itu, KLFA akan memastikan ia diselenggara dengan baik bagi sebarang penganjuran kejohanan peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Anwar Mohd Zain menjelaskan, pihaknya akan meneliti balik perjanjian yang dibuat dengan syarikat berkenaan sama ada intipatinya ditepati atau sebaliknya.

Terdahulu, DBKL menerima sumbangan 100 basikal bernilai RM40,000 daripada Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin untuk KL Car Free Morning yang dianjurkan pada setiap Ahad bermula 7 hingga 9 pagi.

Mahadi berharap, lebih banyak syarikat dan bank akan menjalinkan kerjasama dengan pihaknya bagi menjayakan usaha mengurangkan 70 peratus penggunaan karbon di bandar raya ini menjelang 2030.

"Ia memang sasaran yang tinggi cita-citanya, tapi kita perlu melakukan ini untuk menikmati manfaat teras ikrar ini, terutamanya dalam mendapatkan udara yang lebih bersih dan menjadikan KL sebuah bandar yang bersih dan sihat untuk penduduknya.

"Bandar yang berjaya menangani dan melaksanakan program-program mitigasi atau adaptasi kepada perubahan iklim akan menjadi berdaya tahan,” katanya. - Bernama