[VIDEO] Jemput individu pengaruh baik kepada pelajar: iGuru

Mohd Azizee
Mohd Azizee
A
A
A

SEREMBAN - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyarankan mana-mana ikon atau pempengaruh yang dijemput oleh pihak sekolah mestilah dalam kalangan mereka yang boleh dijadikan contoh terbaik untuk generasi pelajar.

Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan berkata, di negara ini terdapat ramai bakat anak muda yang hebat dan berjaya dalam pelbagai industri untuk dijadikan ikon kepada pelajar.

"Kini hangat diperkatakan kehadiran seorang influencer Tik Tok popular, Haqiem Stopa ke salah sebuah sekolah untuk menyampaikan sesi ceramah berkaitan COG (Cerita Orang Gagal).

"Pihak iGuru menyambut baik hasrat murni pihak sekolah untuk mengetengahkan kisah orang-orang yang pernah gagal yang akhirnya berjaya untuk dijadikan inspirasi kepada pelajar," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pempengaruh yang telah berjaya di dalam bidang masing-masing serta memiliki akhlak moral yang tinggi wajar dijemput ke sekolah untuk menjadi ikutan yang baik kepada pelajar, meskipun mereka dari latar belakang yang pernah gagal sebelum ini dan berdepan ujian dalam kehidupan.

"Bagaimanapun, pihak sekolah perlu menapis mana-mana ikon yang ingin dijemput ke sekolah dan mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan agar hero yang ditonjolkan nanti memberikan nilai positif dalam diri pelajar," katanya.

Mohd Azizee berkata, membawa ikon yang tidak bersesuaian akan memberikan mesej negatif dan mengundang cara fikir salah dalam kalangan pelajar kerana mereka masih mentah dan belum sempurna tahap kematangan.

"Sekolah wajar menjadi premis terbaik untuk membangun intelek, bakat dan jati diri murid.

"Tidak wajar menjemput mana-mana individu yang rendah moral dan adab untuk dijadikan ikon dalam mengisi program motivasi dan pembinaan generasi," katanya.

Pada Rabu, netizen mempersoalkan kewajaran sebuah sekolah menjemput Haqiem Stopa ke sekolah susulan bukanlah merupakan ikon yang sesuai untuk diangkat menjadi contoh kepada pelajar sekolah.